Thursday, September 8, 2011

MAIS larang Khalid Samad mengajar agama di S'gor


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak boleh membuat apa-apa penyampaian agama di masjid dan surau di seluruh Selangor kerana tidak mendapat tauliah dari MAIS.
Ia termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah dan apa-apa pengisian agama, demikian menurut satu kenyataan MAIS hari ini.
Pengerusinya, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata rayuan Khalid berhubung tauliah beliau, ditolak melalui mesyuarat Jawatankuasa Tualiah MAIS yang bersidang pada 23 Jun 2011.

"Penolakan ini adalah selaras dengan perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama Islam kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau di Selangor," katanya.
Oleh itu, MAIS dengan ini mengingat dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor supaya tidak menjemput, membenarkan atau memberi peluang kepada Khalid dan mana-mana ahli politik untuk memberi ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah MAIS yang masih berkuatkuasa.

Sementara itu , Khalid mendakwa sehingga kini beliau tidak menerima jawapan berhubung penjelasan yang dimintanya berhubung alasan tidak diberi tauliah kerana "kerana mempunyai rekod jenayah".

"Pada 30 Oktober 2009, JAIS kata lupakan, (kamu) tak diberi tauliah (sebab) tak layak," katanya sambil mendakwa tindakan JAIS itu dipengaruhi sikap MAIS dan campurtangan Umno dan BN.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menunjukkan gambar "bukti" yang didakwa menunjukkan Mohd Adzib menyokong BN.

Antara gambar yang didedahkan adalah Mohd Adzib bersama-sama dengan ahli parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan dalam satu majlis yang diadakan dalam kawasan perkarangan masjid ketika pilihan raya parlimen itu.

Dalam gambar tersebut, Kamalanathan memakai baju yang mempunyai logo dacing - simbol bagi BN.

"Saya minta dia jawab," kata Khalid yang juga yang dipertua PAS Shah Alam.

No comments:

Post a Comment