Thursday, September 8, 2011

Tiga bulan sekeluarga bergelap



KAMPUNG KEBAKAT – “Tiga bulan kami hidup tanpa bekalan elektrik, bila malam memang gelisah anak–anak kepanasan sehingga terpaksa dibuka pintu seluas–luasnya, biar angin dari luar masuk, sejuk sikit rasanya,” luah seorang ibu, Rohani Taib, 41.

Rohani berkata, suaminya, Wan Mat Wan Bakar, 53, yang bekerja sebagai buruh Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) tidak mampu menjelaskan bil elektrik yang tertunggak berjumlah RM1,100.

“Pendapatan suami saya bukannya besar sangat, kena jelaskan pinjaman perumahan yang didiami kami anak beranak lagi, perbelanjaan sekolah anak–anak, memang kami terhimpit,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami sudah cuba sedaya upaya untuk menjelaskan bil tertunggak itu, namun kerana kesempitan hidup, wang yang dikumpul tidak mencukupi.

“Bulan Ramadan baru–baru ini, kami berbuka puasa dan bersahur guna pelita minyak tanah, walau tidak selesa, namun anak–anak reda, malah anak bongsu saya yang berusia tujuh bulan pun faham, langsung tidak meragam walau pun tinggal dalam gelap” katanya di rumahnya di perumahan Kebakat.

Bagaimanapun, kesusahan keluarga tersebut selesai selepas Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi membantu menjelaskannya.

Berikutan itu, tiga hari sebelum Aidilfitri, rumah mereka disambungkan semula bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Rohani berkata, sejurus bekalan elektrik disambung semula, anak-anak melompat kegembiraan kerana dapat menyambut Aidilfitri tanpa perlu bergelap dan dapat menonton televisyen selepas tiga bulan semua peralatan elektrik tidak berfungsi.

“Sempat juga saya masak juadah Aidilfitri, walau terkilan tahun ini tidak dapat membuat biskut raya kerana bekalan elektrik dipotong,” katanya yang mempunyai 10 anak, dua darinya belajar di kolej manakala enam lagi bersekolah menengah dan rendah.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Che Abdullah kerana dengan bantuannya, dia sekeluarga dapat beraya dengan sempurna.-SH

No comments:

Post a Comment