Thursday, September 8, 2011

Utusan diberi tempoh akhir 24 jam



KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberikan tempoh 24 jam sebagai tempoh terakhir kepada Utusan Malaysia untuk memohon maaf atau berdepan saman.

Ianya berhubung laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu yang bertajuk "Mat Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong" yang didakwa fitnah terhadap dirinya dan PAS.

Gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, beliau akan mengarahkan peguamnya memfailkan saman terhadap akhbar itu minggu depan.
"Tulisan muka depan itu telah menimbulkan fitnah, kemarahan orang ramai kepada saya di atas rekaan berita yang dibuat Utusan terhadap saya.

"Kerana itu juga telah berlaku kehangatan politik dan fitnah terhadap saya sehingga ada ancaman begitu berat yang saya lalui," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini sebentar tadi.

Turut serta pada sidang media itu peguamnya, Hanipa Maidin.
Menurutnya lagi, notis guaman juga telah dihantar kepada ketua pengarang akhbar itu secara rasmi hari ini.

Dalam laporannya itu, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.
-HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment