Thursday, September 8, 2011

Pemuda PAS: MB Johor macam British, label Mat Indera semberono

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Pemuda PAS menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor semalam mengenai Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan kontroversi terbaru mengenai tragedi Bukit Kepong, sebagai tidak rasional dan dibuat secara semberono.
Sehubungan itu Pemuda PAS Johor juga mengajak Datuk Abdul Ghani Othman agar berdialog dengan mereka mengenai pendirian beliau, yang dilontar pada sidang media semalam dan juga menerusi rencana tulisannya dalam dua akhbar harian tempatan hari ini.
“Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat.
“Tindakan beliau (Ghani) melabel Mat Indera (Ahmad Indera) dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Suhaizan bertanya, jika tindakan Mat Indera menyerang rumah pasung Bukit Kepong 1950 yang pentadbirnya ketika itu adalah British dan benderanya masih lagi bendera Union Jack, “saya mahu beliau beritahu kepada saya apakah status Tok Janggut yang turut mengambil tindakan yang sama sewaktu menentang penjajah British di Kelantan?”
“Yang ketiga, bagaimanakah Ghani(gambar) boleh bercanggah dengan penulisan berkaitan Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan dalam buku Pengukir Nama Johor yang beliau sendiri menjadi penaung dan penulis prakata bagi buku ini?
“Bahkan buku itu merupakan terbitan Yayasan Warisan Johor yang merupakan agensi kerajaan negeri itu sendiri? Bagaimana selama ini semuanya OK dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?” kata beliau lagi.
Suhaizan menambah, bahkan satu penemuan dan kajian baru tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong 1950 juga perlu dijadikan asas agar ruang kepada debat ilmiah dan kajian akademik dibuka semula, bukan dengan cara melabel secara semberono sepertimana dilakukan oleh Ghani.
“Saya amat mempertikaikan kenyataan dikeluarkan Ghani pagi ini.
“Saya sendiri sebagai anak jati negeri ini berasa amat kecewa dengan hujah-hujah dikemukakan beliau. Pada saya beliau seolah-olah berfikiran penjajah,” kata Suhaizan lagi.
Katanya, hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling “tak tumpah seperti alasan dan hujah dari seorang pagawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan air mata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu.”
“Saya juga cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka di daerah Muar, Johor.” katanya lagi.
Dalam tulisannya hari ini, Ghani menegaskan Mat Indera merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai kegiatan dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Ghani berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.
“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.
-INSIDER

No comments:

Post a Comment