Thursday, September 8, 2011

DAP sokong PAS gesa kaji semula sejarah merdeka



KUALA LUMPUR, 8 Sept: Kerajaan harus mengkaji sejarah berpandukan fakta, bukannya bermotifkan politik, kata dan Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok.
“Saya menyokong cadangan PAS supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula sejarah pejuangan kemerdekaan negara kita agar mereka yang telah benar-benar menyumbang kepada usaha tersebut dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, semua pelajar sejarah tahu pemimpin Umno bukannya satu-satunya pihak yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, sebagaimana disebarkan oleh pemimpin Umno selama ini.
Pada hakikatnya, kata beliau mereka yang telah berjuang mencapai kemerdekaan pada ketika itu termasuklah gerakan persatuan perniagaan, persatuan pekerja, pihak media daripada pelbagai bahasa, golongan intelektual, kumpulan kebudayaan, golongan Islam dan pihak berhaluan kiri.
Namun begitu, ujarnya media aliran utama tidak memberitahu orang ramai tentang sejarah yang sebenarnya selama ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Seputeh menambah, sesetengah aspek sejarah yang tidak dikehendaki dipadamkan manakala sesetengah tokoh yang terpilih diagung-agungkan.
“Sepastinya, sejarah sesebuah bukanlah sesuatu yang kemas dan rapi tetapi kompleks dan berkepelbagaian, apatah lagi bagi tanah air kita yang terdiri daripada berbilang etnik kaum,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menyaran kerajaan agar menerima cadangan PAS untuk mengkaji semula sejarah secara objektif, jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak secara bersama.
“Umno harus hentikan tuduhan “buta sejarah” terhadap pihak lain semata-mata kerana ingin mengagung-agungkan sumbangan Umno.
“Kalau tidak, pada akhir harinya, Umno terbukti tidak berani mengakui hakikat sejarah,” katanya lagi.
-HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment