KUALA LUMPUR 18 Jan. - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak didesak supaya menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap pengurus sebuah pasar raya di negeri berkenaan yang dipercayai mengarahkan pekerja beragama Islam memegang daging babi tanpa lapik.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan pengurus pasar raya di Taiping, Perak itu sebagai biadab dan kurang ajar kerana tidak menghormati agama tersebut.
"Majlis Perbandaran Taiping dan Menteri Besar Perak juga wajar bertindak terhadap pengurus serta pasar raya berkenaan. Saya berpendapat adalah tepat untuk pihak berkuasa menarik balik lesen operasi pasar raya tersebut.
"Tindakan pengurus berkenaan sangat biadab dan amat kurang ajar. Sekiranya perkara seumpamanya berlaku terhadap amalan agama lain, pasti riuh-rendah seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini mengenai luahanJuruwang Teraniaya yang bertugas di sebuah pasar raya di Kamunting, Taiping. Dia diarahkan memegang daging babi tanpa lapik.
Juruwang tersebut menyatakan perkara itu timbul apabila pengurusnya menerima aduan daripada seorang pelanggan bukan Islam yang mempertikaikan mengapa juruwang Melayu Islam memegang daging babi beralaskan plastik seolah-olah menghina makanannya.
Dalam pada itu, Ibrahim juga mendesak Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak segera terhadap aduan tersebut.
Katanya, pihak bukan Islam sewajarnya sensitif dengan hal yang berkaitan agama Islam sebagaimana golongan Melayu Islam sensitif kepada perkara yang membabitkan agama lain.
No comments:
Post a Comment