Thursday, January 19, 2012

Tugas lama pecah dua

SHAH ALAM: Berlaku kejutan dalam pelantikan baru Exco Kerajaan Negeri Selangor semalam, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan mengambil alih sebahagian portfolio Exco terdahulu, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Portfolio Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor sebelum ini dipegang Dr Hasan sebagai pengerusi dirombak apabila Abdul Khalid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Pecahan portfolio dipegang Dr Hasan yang baru-baru ini dipecat keahlian oleh Pas sebelum digugurkan jawatan Exco turut membabitkan Exco baru dilantik, semalam, iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi dari Pas yang diberi tanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyempurnakan majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Dr Ahmad Yunus sebagai Exco negeri di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, pagi semalam.

Selepas istiadat itu berakhir, Abdul Khalid dalam sidang akhbar berkata, Kerajaan Negeri percaya Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab.

“Latar belakang Dr Ahmad Yunus sebagai doktor perubatan sudah banyak memberi khidmat kepada rakyat, sekali gus boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai ahli Exco secara efisien dan profesional.


“Pelantikan baru ini turut membabitkan rombakan kecil dari segi portfolio. Dr Ahmad Yunus bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan manakala saya selaku Menteri Besar kini memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

“Exco kerajaan negeri sekarang kekal seperti sedia ada dari segi pembahagian iaitu empat wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga wakil Pas dan tiga wakil DAP.

“Rombakan berkuat kuasa hari ini (semalam) dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar, tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah Exco pembantu untuk portfolio Belia dan Sukan,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid selaku Menteri Besar turut memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia dan Sukan.

Sementara itu, katanya, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL) manakala Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Menurutnya, kedua-dua jawatan itu sebelum ini disandang Dr Hasan.

“Saya ada menerima surat daripada Dr Hasan yang berpendapat pelantikan ini (Exco baru) mungkin terlalu awal atau ‘premature’ kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura.

“Saya sudah menjawab surat itu dengan menyatakan keputusan saya menggugurkan beliau (daripada jawatan Exco) adalah lanjutan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 8 Januari 2012 yang melucutkan beliau sebagai ahli Pas.

“Surat daripada Jawatankuasa Pas bertarikh 10 Januari 2012 sudah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuat kuasa serta-merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

“Saya berharap Dr Hasan menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan saya mengucapkan terima kasih di atas peranan beliau laksanakan ketika berkhidmat sebagai ahli Exco,” katanya.

Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru semalam, turut menamatkan desas-desus termasuk nama Dr Abdul Rani yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor disebut-sebut sebagai pengganti Dr Hasan sebaik Adun Gombak Setia itu dipecat keahliannya daripada Pas pada 8 Januari lalu. Abdul Khalid ketika ditanya mengapa beliau sendiri memegang portfolio berkaitan agama Islam berkata, langkah itu sebagai usaha menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal Islam.

“Saya mengambil alih tugas ini kerana Datuk SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi) dan Datuk Penasihat Undang-Undang negeri (Penasihat Undang-Undang Negeri, Datin Paduka Zauyah T Loth Khan adalah ahli Majlis Agama Islam (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mengenai agenda mencegah murtad dan arak yang diperjuangkan Dr Hasan sebelum ini, Abdul Khalid berkata, ia akan diteruskan kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai orang Islam.

Mengenai jawatan Dr Hasan sebagai Timbalan Pengerusi Mais, Abdul Khalid berkata, perkara itu terpulang kepada Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment