KUALA LUMPUR 18 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Kerajaan Persekutuan membangkitkan isu-isu perundangan yang perlu ditentukan dalam kes saman berhubung tuntutan tunggakan royalti minyak oleh kerajaan negeri Kelantan.
Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian hari ini selepas selesai mendengar hujah kesemua pihak yang terlibat dalam tuntutan saman tersebut.
Petronas diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi mewakili Kerajaan Persekutuan. Peguam-peguam, Ganeshan Nethi dan Nur Ashikin Abdul Rahim pula mewakili kerajaan negeri Kelantan selaku plaintif.
Azizah ketika ditemui pemberita memberitahu, mahkamah menetapkan 20 Februari ini untuk pengurusan kes tersebut.
Petronas dan Kerajaan Persekutuan masing-masing mengemukakan lima dan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh mahkamah tersebut.
Isu-isu awal berhubung persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh kedua-dua defendan itu antaranya adalah:
l Sama ada plaintif mempunyai sebarang hak di bawah undang-undang ke atas petroleum yang didapati dan diperoleh 'di pelantar benua'.
Ia adalah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 bersempadan dengan pantai negeri itu dan sebelum penggubalan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta pelaksanaan perjanjian bertarikh 9 Mei 1975 antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas.
l Sekiranya jawapan bagi persoalan itu dalam bentuk negatif, maka adakah boleh kerajaan negeri Kelantan walaupun secara sah meletakkan sebarang hak di bawah undang-undang ke atas petroleum yang didapati dan diperoleh 'di pelantar benua' yang membolehkan kerajaan negeri itu menerima bayaran berkenaan berdasarkan 'Surat Cara Letak Hak' atau perjanjian bertarikh 9 Mei 1975 antara plaintif dan Petronas.
l Mengikut tafsiran yang sebenar dan sepatutnya akan tujuan dan maksud Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974, adakah bayaran yang kena diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan berkenaan petroleum yang didapati dan diperoleh 'di pelantar benua' menurut 'Surat Cara Letak Hak' dan perjanjian berkenaan.
Dalam writ saman yang difailkan pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan menuntut supaya Petronas melaksanakan perjanjian petroleum bertarikh 9 Mei 1975 setelah mendakwa defendan secara salah melanggar kewajipannya.
Kerajaan negeri itu mendakwa telah menandatangani Perjanjian Petroleum Kelantan bertarikh 9 Mei 1975 yang ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir dengan bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.
Berdasarkan perjanjian, kerajaan negeri telah bersetuju memberikan hak milik dan hak eksklusif mencari gali petroleum sama ada di pantai atau luar pantai Kelantan kepada Petronas.
Untuk tujuan tersebut, defendan hendaklah membuat bayaran tunai dua kali setahun kepada plaintif yang jumlahnya bersamaan lima peratus nilai petroleum yang diperoleh dan dikumpul serta dijual oleh defendan.
Bagaimanapun menurut plaintif, Petronas secara salah dan melanggar kewajipan di bawah perjanjian apabila gagal memberikan sebarang maklumat mengenai aktiviti cari gali dan takat pengeluaran serta membuat bayaran tunai berhubung petroleum yang didapati di luar pantai Kelantan.
Dalam kes ini, Kerajaan Persekutuan yang pada asalnya tidak dinamakan sebagai defendan, telah mengemukakan permohonan sebagai pencelah dan juga sebagai defendan kedua. Permohonan itu kemudian dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Mac tahun lalu dan turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment