Thursday, January 19, 2012

Sebutan semula kes murtad dua beradik 12 Mac



PULAU PINANG 18 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes dua beradik yang memohon mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad).
Hakim Syarie, Othman Ibrahim menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membuat hujahan terhadap permohonan yang dikemukakan oleh Roslina Abdul Rashid dan adiknya Rosli yang masing-masing berumur 30-an.
MAIPP yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam syarie, Faizal Arif Tajul Ariffin manakala kedua-dua beradik itu selaku pihak plaintif yang diwakili peguam syarie, Wan Faridulhadi Mohd. Yusoff tidak hadir di mahkamah.
Tuntutan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006, lanjutan kepada Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding membabitkan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
Sementara itu, Faizal Ariff ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, kes tersebut masih di peringkat prosiding awal dan pihaknya memerlukan masa untuk memulakan hujahan balas.
"Pada masa ini kes hanya melibatkan hujahan balas antara peguam dan tarikh perbicaraan akan ditetapkan kemudian.
"Kedua-dua plaintif juga tidak perlu hadir untuk sebutan semula kes namun perlu berbuat demikian ketika perbicaraan nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment