Saturday, June 2, 2012

Isteri bebas tuduhan kanabis, suami dipenjara

Isteri bebas tuduhan kanabis, suami dipenjara - Semasa - Sinar Harian:
SHAH ALAM - Seorang wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 926 gram oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini manakala suaminya dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang sama.

Erniyanti Turkiyah, 29, hanya mampu memeluk dan memegang wajah suaminya, Mohd Rizal Zulkifli, 34, sambil menangis teresak-esak selepas Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu.

Mohd Rizal dan Erniyanti didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di tepi jalan Lot 618, Jalan Wan Siew, Sungai Chua, Kajang dekat sini, kira-kira pukul 12.45 pagi 18 Februari tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) Akta sama yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, pasangan suami isteri itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah restoran dan selepas diperiksa, polis menemui kunci kereta sebuah Proton Saga Wira di dalam beg Erniyanti. 

Pemeriksaan di dalam kereta berkenaan seterusnya menemui bungkusan berbalut kertas surat khabar mengandungi kanabis di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan.    

Mohd Rizal, pemilik kedai menjual telefon bimbit dan Erniyanti, surirumah, sebelum ini didakwa atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan pertuduhan pilihan terhadap pasangan itu yang mempunyai seorang anak lelaki berumur empat tahun.    

Pendakwaan kemudian mengemukakan permohonan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Erniyanti manakala Mohd Rizal mengaku bersalah terhadap tuduhan di bawah Seksyen 39A(2) akta itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abdul Latif sementara Mohd Rizal diwakili peguam Kartar Singh dan Erniyanti diwakili peguam S.Selvi. -- Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment