Saturday, June 2, 2012

Polis tahan lelaki warga Pakistan terlibat 51 kes tipu

Polis tahan lelaki warga Pakistan terlibat 51 kes tipu - Semasa - Sinar Harian:
GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 36 tahun, dipercayai dalang sindiket yang terlibat dalam 51 kes penipuan melibatkan kerugian hampir RM500,000 di beberapa negeri di Semenanjung, sejak pertengahan tahun lepas.

Sebanyak 12 kes dilaporkan di negeri ini manakala 11 kes di Perak, Kuala Lumpur (14 kes) dan selebihnya di Selangor, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. 

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abd Rahim Jaafar berkata hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri dan JSJK Daerah Seberang Perai Utara, polis berjaya menjejaki lelaki terbabit dan menahannya di sebuah bank di Butterworth pada Rabu lepas. 

"Ketika ditahan, suspek sedang mengeluarkan wang melalui mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan wang berkenaan dipercayai baru dimasukkan oleh mangsa terbarunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Polis telah menahan lima anggota sindiket tersebut terdiri daripada warga tempatan dalam tangkapan berasingan awal bulan lepas.    

Modus operandi sindiket itu ialah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mail dengan memperkenalkan diri sebagai pembekal yang menjalankan promosi pelbagai barangan sukan, songket, pakaian, cenderamata dan  sebagainya kepada peniaga barangan.

Sindiket itu kemudiannya akan menyamar sebagai guru sekolah atau sesiapa sahaja dan menghubungi peniaga berkenaan bagi membuat tempahan palsu dengan kuantiti banyak. 

"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran promosi itu akan menghubungi pembekal palsu terbabit bagi mendapatkan barang dalam kuantiti banyak dengan harga rendah. 

"Suspek kemudian akan meminta mangsa membayar secara atas talian ke dalam akaun miliknya dan berjanji akan menghantar pesanan dalam tempoh singkat," kata Abd Rahim. 

Beliau berkata kes terbaru melibatkan seorang mangsa yang menempah 120 helai songket daripada sindiket itu dua bulan lepas dan hanya sedar dirinya tertipu apabila menerima 120 gulung tisu tandas selepas beberapa hari berikutnya.

"Mereka sangat licik dan sukar dikesan kerana menggunakan nama dan nada suara yang berbeza ketika menjalankan kegiatan haram itu," katanya. 

Abd Rahim berkata lelaki terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. -- Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment