GEORGETOWN: Gelagat mencurigakan seorang lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Toyota Camry ketika melalui sekatan jalan raya di Kilometer 142.3, Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Juru, Sabtu lalu, membawa kepada penemuan empat bungkusan syabu seberat 3.59 kilogram bernilai RM800,000.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Unit Peronda Polis Elit Evolution X (MPV-Evo), menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut selepas mendapatinya dalam keadaan mencurigakan sebelum menemui empat bungkusan dadah disorokkan di tempat duduk belakang penumpang.
Malah, bagi mengelak dadah itu dikesan terutama pihak berkuasa, ia dibungkus dalam peket kopi segera.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan diperoleh dari selatan untuk dihantar kepada anggota sindiket di kawasan utara sebelum kegiatan mereka dipatahkan polis.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 30 tahun itu positif syabu.
“Polis masih menyiasat rangkaian sebenar suspek termasuk mengesan pemilik sebenar kereta yang dipandu selain percaya kegiatan pengedaran dadah ini beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 4 Ogos ini untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam. Ayub berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis masih mengenal pasti motif sebenar dia membawa dadah termasuk sama ada ditugaskan menghantar bekalan.
No comments:
Post a Comment