Thursday, July 19, 2012

Kanak-kanak penghidap leukemia perlu bantuan biayai rawatan

Kanak-kanak penghidap leukemia perlu bantuan biayai rawatan
Bushro (kanan) melawat Fatini di rumahnya di Kampung Melayu Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH - Penderitaan penghidap leukemia Nur Fatini Damia Muhd Ridzuan,3, disiarkan Sinar Harian minggu lalu sedikit kelegaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor memberi jaminan akan membantu kanak-kanak berkenaan.

Bushro berkata, pihaknya akan berusaha membantu Fatini mendapat bantuan melalui agensi kerajaan bertanggungjawab.

“Saya harap segala maklumat perubatan Fatini boleh dihantar ke pejabat saya untuk tindakan lanjut “Ini penting bagi membolehkan pihak saya menyalurkan perkara ini kepada agensi kerajaan bertanggungjawab untuk tindakan segera,” katanya ketika ditemui semasa berkunjung ke rumah kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, bapa Fatini, Muhd Ridzuan Sulaiman, 29, ketika ditemui berterima kasih kepada pihak yang prihatin. Menurutnya, dia juga menerima sumbangan melalui Surau Zahidiah hasil kutipan tabung khas dan bantuan orang  perseorangan.

Difahamkan Ridzuan yang bekerja sebagai pembaca meter kanan di Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kini terpaksa mencari alternatif lain selepas insurans syarikat tempatnya bekerja tidak dapat membantu dengan alasan tidak boleh membiayai rawatan kanser.

“Saya juga sudah berhubung dan berjumpa dengan pegawai dan kakitangan di Bahagian Jabatan Sumber Manusia Syabas Selayang dan Ibu Pejabat di Lembah Pantai, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima surat Mohd idzuan memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Memang insurans syarikat tidak dapat membiayai perbelanjaan serta kos rawatan anaknya kerana kos pelindungan yang diberikan syarikat terhad,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, pihak syarikat akan cuba menimbangkan bentuk bantuan yang sesuai dan akan melawat keluarga itu dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 162740148585 Fatini Damia Muhd Ridzuan atau ke Lot 109 Batu 13 Kampung Melayu Sungai Buloh atau hubungi 019-2721324 (Ridzuan) atau 019-3617595 (Norliza).

No comments:

Post a Comment