Thursday, July 19, 2012

Minum sisa kumbahan, air lumpur

Fakriah Che Husin menunjukkan  air berlumpur dipercayai bercampur sisa kumbahan  dari Loji AKSB Merbau Chondong.Fakriah Che Husin menunjukkan air berlumpur dipercayai bercampur sisa kumbahan dari Loji AKSB Merbau Chondong.
Penduduk Galang buat demonstrasi bantah AKSB 

Machang: Lebih tiga tahun penduduk Kampung Galang, Pulai Chondong, di sini terpaksa menggunakan air keruh seperti teh untuk kegunaan harian seperti memasak dan membersihkan diri. Tidak cukup dengan itu, Sungai Galang yang menjadi sumber air utama kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan, kini semakin cetek dan bercampur lumpur sehingga menyebabkan 600 hektar sawah di situ rosak dan tidak subur. 
Berikutan itu, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kawasan Machang dan penduduk Kampung Galang mengadakan demonstrasi aman di depan Loji Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Merbau Chondong, mendesak masalah itu diberi perhatian sewajarnya. 

Lapor polis 

Menerusi laporan polis dibuat kelmarin, mereka mendakwa loji air di Merbau Chondong tidak menyelenggara air mengikut spesifikasi ditetapkan iaitu membuang kumbahan bercampur lumpur atau menyalurkannya ke dalam kolam disediakan, sebaliknya ke Sungai Galang.

Penduduk yang juga petani, Mohamad Hassan, 63, mendakwa masalah yang membelenggu mereka berlarutan sekian lama. 
“Dulu saya boleh berwuduk di sungai tepi masjid sebab airnya bersih, sekarang lumpur cukup tebal melebihi paras lutut, ikan pun tak boleh hidup sebab air macam teh tarik. 

Tolong turun padang! 

“Saya berharap masalah ini ditangani segera demi kepentingan penduduk dan berharap wakil rakyat kami turun padang melihat keadaan ini,” kata. 

Seorang lagi penduduk, Mustafa Che Lah, 71, berkata, masalah itu banyak menjejaskan kegiatan seharian keluarganya dan masyarakat di situ. 

“Kerajaan negeri kata nak buat negeri kebajikan, tetapi apa yang kita tengok mereka sibuk berceramah, tak jaga rakyat. 

“Apa yang harapkan ialah pihak bertanggungjawab membuat pemantauan mengenai perkara ini,” katanya. 

Pengerusi MTRK Machang, Ab Halim @ Kamaruddin Ab Kadir, turut memohon pihak berkuasa menyiasat sama ada masalah berkenaan disebabkan kecuaian pekerja AKSB sehingga sungai cetek dan dikhuatiri membawa masalah baru, iaitu banjir yang pasti menjejaskan penduduk Kampung Galang dan kawasan sekitar Pulai Chondong.

No comments:

Post a Comment