Nordi dan tiga anaknya, Nurul Safi za Fitri (kanan), Muhammad Nurhan kiri dan Nur Masyita Amiera menatap gambar Siti Norzana. Gambar kecil: Siti Norzana (kanan, belakang) |
JOHOR BAHRU – “Anak saya Zana saya anggap dah mati," demikian mesej tertera dalam sistem pesanan ringkas (SMS) yang dikirim oleh pengawal keselamatan, Nordi Adi, 57, kepada Sinar Harian, semalam.
Nordi sebelum ini mengejutkan rakyat Malaysia apabila berjaya mendapatkan semula tiga anaknya yang dilarikan ibu tiri mereka ke Lampung, Indonesia pada 30 Jun lalu, kecuali anak sulungnya Siti Norzana, 12, yang masih terkandas kerana dikatakan dihantar ke daerah lain untuk bekerja sebagai buruh paksa.
Menurut Nordi, hidupnya kini diselubungi kesedihan dan kebuntuan kerana tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk membawa pulang Siti Norzana.
“Takbir raya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, tetapi saya masih tidak mendapat sebarang berita tentang Zana dari tanah seberang.
“Saya juga pernah terfikir untuk ke Indonesia Syawal ini untuk terus mencari Zana. Demi anak dan maruah, mati pun saya rela,” katanya dengan nada sebak, semalam.
Bagaimana pun, dia bimbang impian itu tidak terlaksana kerana dihimpit masalah kewangan.
“Dengan pendapatan saya sebanyak RM900 memang hanya cukup hendak menanggung kehidupan kami berempat sahaja," katanya.
Nordi juga berputus harap untuk membawa pulang Siti Norzana kerana anaknya itu dikawal ketat oleh bekas isteri, Karsini, 28.
“Saya buntu kerana undang-undang tidak dapat dilaksanakan di sana untuk mengembalikan Zana.
“'Undang-undang' wanita Indonesia (Karsini) dan penduduk kampung di sana lebih kuat,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh memaklumkan beliau mempunyai bukti berlakunya perdagangan manusia terhadap Siti Norzana yang dilarikan ibu tirinya ke Lampung, Indonesia, Mei 2010 lalu.
Tiga anak Nordi yang lain, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8 bagaimanapun berjaya dibawa pulang oleh Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno pada 30 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment