Wednesday, August 1, 2012

Pelantikan Lajim Ukin dibatal

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibatalkan serta-merta.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ia adalah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Lajim pada Sabtu lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai anggota Umno.

Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Najib kemudian pada satu majlis di Pekan dilaporkan berkata, kedudukan Lajim sebagai timbalan menteri akan diputuskan pada Isnin.
Lajim, 57, dipilih ke Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008 menggantikan penyandang kerusi Beaufort, Azizah Mohd Dun selepas menewaskan Lajim Md Yusof (PKR) dengan majoriti 10,914 undi. - Bernama

No comments:

Post a Comment