Tuesday, September 18, 2012

3,000 penduduk Islam pijak, bakar bendera AS, Israel




         
MANILA: Kira-kira 3,000 rakyat Filipina beragama Islam semalam, membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel dalam bantahan terhadap filem anti-Islam yang menyebabkan huru-hara hampir di seluruh dunia.

Penunjuk perasaan di selatan bandar Marawi, berkumpul di dataran umum untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap filem berkenaan dan memijak bendera Amerika dan Israel lalu membakarnya.
Penunjuk perasaan membawa poster bertulis, “Amerika adalah syaitan” dan “Yahudi Israel.. musuh umat Islam” di bandar yang majoritinya adalah penduduk Islam itu. Ada di antara penunjuk perasaan itu menggesa Presiden Benigno Aquino mengharamkan filem berkenaan.

Namun begitu, tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam tunjuk perasaan itu.


Sementara itu, Benigno memberitahu wartawan, dia tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan filem bajet rendah terbitan Amerika Syarikat yang menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.


“Jangan lupa, dalam perlembagaan negara ini, kita mempunyai kebebasan bersuara dan kita tidak boleh menyekatnya,” katanya.

Namun begitu, katanya, lembaga penapisan filem negara itu boleh mengharamkan filem itu daripada ditayangkan di panggung wayang atau televisyen tempatan.

Sementara itu, Jurucakap Polis Nasional, Ketua Superintenden Generoso Carbo berkata, “Kami mengambil langkah berjaga-jaga dan terus memantau operasi kami sekiranya ada ancaman.”

Katanya, buat masa ini mereka tidak menerima laporan ancaman daripada ketua Islam tempatan untuk mengelakkan keganasan. - MT

No comments:

Post a Comment