Tuesday, September 18, 2012

5 tahun mohon niaga secara halal



         
KUALA LUMPUR: “Lima tahun kami berusaha mendapatkan lesen malah turut memohon ruang kedai untuk disewa kerana tak sanggup lagi berniaga secara haram seperti ini namun ia terus ditolak.

“Apa yang kami harapkan sekarang supaya pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dapat membina lot kedai di sekitar kawasan sini untuk kami. “Terdapat banyak padang di sekitar PPR (Projek Perumahan Rakyat) ini yang saya rasa satu daripadanya boleh digunakan untuk didirikan premis perniagaan,” kata S Rajagogilah.


Rajagogilah, 37, antara sembilan peniaga di bahu Jalan 1/23c berhampiran PPR Kampung Baru Air Panas, di sini yang kesal dengan tindakan DBKL tidak meluluskan permohonan mereka khususnya bagi mendapatkan lot kedai untuk disewa.

Akibat berniaga secara haram, mereka beberapa kali diberi notis pengosongan tapak serta disaman dan kekecewaan turut disuarakan mengenai gerai mereka yang kerap runtuh malah terbang dibawa angin kuat sementara orang luar pula sewenang-wenangnya dapat menyewa lot kedai di situ.


Menurut Rajagogilah, paling membuat dia kesal apabila permohonannya menyewa rumah sampah di kawasan itu turut ditolak atas alasan ia tidak boleh dijadikan premis perniagaan namun kini ia sudah pun beroperasi sebagai kedai runcit sejak akhir tahun lalu.


“Saya dan peniaga lain cuba memohon kepada DBKL untuk mendapatkan rumah sewa ini kerana lokasinya hanya kira-kira 15 meter dari satu lagi rumah sampah namun ia ditolak.

“Apabila kami dapati rumah sampah itu beroperasi sebagai kedai runcit, kami cuba membuat laporan di pejabat DBKL namun kakitangannya juga tidak mahu mengambil aduan kami,” katanya.


Peniaga burger dan air, Mohd Nizam Mohd Naam, 24, berkata, timbul tanda tanya jika penduduk yang juga peniaga asal di situ tidak diberi lot kedai sedangkan orang luar begitu senang memperolehnya.

“Kami mula berniaga sebelum medan selera itu wujud lagi. Apabila ia siap, kami berpindah ke bahu jalan ini dan kami sentiasa cuba mendapatkan lesen perniagaan namun tidak dilayan seperti sepatutnya,” katanya.


Bagi Lim Geak Kee, 40, yang mengusahakan gerai makanan, dia juga pernah memohon bagi mendapatkan lot di medan selera kira-kira 20 meter dari lokasi gerai mereka sebelum ia dibangunkan lagi, namun gagal.


“Harapan kami sekarang hanya satu, semoga DBKL dapat menyediakan premis perniagaan untuk kami di sini atau memberi lot kedai yang tidak aktif kepada kami yang menjalankan perniagaan dari pagi ke petang,” katanya.


Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman, ketika dihubungi berkata, pembinaan premis perniagaan terbabit adalah penyelesaian jangka panjang yang memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment