Tuesday, September 18, 2012

Isu pulau, China guna pendekatan undang-undang



BEIJING 17 Sept. - China meningkatkan usaha terbaru untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pertikaian tuntutan bertindih di Laut China Timur dengan Jepun iaitu melalui tindakan perundangan, lapor agensi berita Xinhua hari ini.
Selain itu, Beijing juga mengugut melancarkan sekatan perdagangan terhadap Jepun yang boleh 'melembapkan' ekonomi negara itu 'selama satu dekad'.
China mengumumkan akan mengemukakan permohonan kepada satu suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tuntutannya di Laut China Timur, berdasarkan definisinya mengenai had kawasan kedaulatannya di benua tersebut.
"Rancangan itu menggambarkan usaha kerajaan China untuk melindungi kawasan maritimnya,'' kata pegawai Kementerian Luar, Deng Zhonghua yang bertanggungjawab dalam isu sempadan dan maritim.
Parti pemerintah China, Parti Komunis yang sebelum ini jarang membenarkan protes jalanan, membuka laluan untuk rakyat melahirkan kemarahan selepas keputusan Jepun pada minggu lalu untuk membeli beberapa pulau di gugusan kepulauan di Laut China Timur.
Demonstrasi rakyat China berterusan hari ini dengan beratus-ratus orang mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Jepun di sini, sambil diperhatikan oleh polis antirusuhan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment