Tuesday, September 18, 2012

Wanita enggan cari ibu bapa kandung




         
KUALA LUMPUR: “Dulu saya pernah terlintas mencari ibu bapa kandung, tetapi apabila mengenangkan kisah silam saya, untuk apa saya perlu bersusah-payah sedangkan mereka tidak mahukan saya,” kata seorang anak terbuang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faiza kini berusia 34 tahun berkata, kehidupannya sekarang bahagia selepas berkahwin dan dikurniakan anak lelaki walaupun pernah berdepan saat sukar.


“Hidup saya pernah terumbang-ambing selepas keluar dari rumah jagaan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1995, namun Alhamdulillah, saya dapat melaluinya dan mampu melalui kehidupan sama seperti orang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ditemui semasa masih bayi di Batu 7, Jalan Puchong, Puchong, Selangor oleh seorang wanita sebelum diserahkan kepada JKM.


“Saya tidak pasti di mana saya ditemui, tetapi saya bersyukur kerana tanpa wanita itu serta JKM yang menjaga, saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku kepada saya,” katanya.


Walaupun sejak kecil melalui kehidupan tanpa kehadiran ibu bapa kandung, Faiza berkata, tidak pernah terdetik di hati rasa cemburu apabila melihat orang lain menikmati kebahagiaan bersama anggota keluarga.

“Saya tidak ada perasaan sebegitu, saya tidak rasa sedih, cemburu atau hiba. Biasa saja, mungkin sebab saya tinggal dengan keluarga angkat sebelum ini.


“Tetapi sejak berkahwin dan dikurniakan seorang anak, baru terasa kebahagiaan,” katanya. Menceritakan kehidupan lalunya, Faiza berkata, selepas keluar daripada jagaan JKM ketika berusia 18 tahun, dia kerap berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain kerana bekerja.

“Saya pernah dihalau keluarga angkat angkara fitnah, menumpang di rumah rakan serta bekerja di banyak tempat. Banyak dugaan yang saya lalui dan terpaksa berdikari ketika usia masih mentah.


“Saya tidak pernah berputus asa kerana tidak semestinya ‘anak yatim’ seperti saya tidak boleh mendapat kehidupan yang baik.


“Tanpa panduan JKM serta usaha merujuk dan mendapatkan bantuan, mungkin saya boleh terjebak dalam kegiatan tidak elok, namun saya cekalkan diri menempuh setiap cabaran,” katanya.


Dia berkata, kehidupannya berubah selepas bertemu suaminya 10 tahun lalu, tetapi dugaan tetap menimpa apabila keluarga sebelah suami pada mulanya tidak dapat menerima latar belakangnya.


“Alhamdulillah, sekarang kehidupan saya bahagia. Saya tidak perlu fikir pun siapa ibu bapa kandung saya,” katanya.


Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh berkata, mereka yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak tidak mempunyai ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang untuk membangunkan keperibadian positif mereka apabila dewasa.


“Sama ada JKM, keluarga angkat atau rumah anak yatim yang bertanggungjawab menjaga anak sebegini perlu memberi didikan dan kasih sayang supaya mereka memiliki jati diri tinggi untuk melalui kehidupan tanpa ibu bapa kandung.


“Banyak perkara negatif boleh berlaku jika mereka tidak dididik dengan betul, jadi pembentukan jati diri sangat penting,” katanya.


Beliau berkata, sokongan masyarakat yang mengetahui latar belakang individu sebegini melalui kata-kata semangat dan motivasi juga boleh membantu mereka menjadi orang yang berjaya.


“Tidak ada sesiapa minta dilahirkan sebegini, tidak diketahui ibu bapa, sebagai anggota masyarakat kita perlu memberi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment