Tuesday, September 18, 2012

Protes bertukar ganas




         
JAKARTA: Penunjuk perasaan melempar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini apabila bantahan bertukar menjadi ganas, semalam.

Selama dua hari, beratus-ratus penunjuk perasaan di Indonesia membuat bantahan terhadap filem bajet rendah yang menghina orang Islam, tetapi bantahan ini dibuat secara aman.
Segalanya berubah apabila penunjuk perasaan membaling bom petrol sambil menjerit slogan anti-Amerika. Polis perusuh membalas dengan meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan 700 penunjuk perasaan.

Polis juga dilihat menyepak dan menarik beberapa penunjuk perasaan dan asap hitam daripada bom petrol berkepul ke udara. Seorang anggota polis yang berdarah di muka dibawa ke hospital.


Penunjuk perasaan menjerit, “Amerika! Amerika masuk neraka!” dan ada di antara mereka membawa poster yang bertulis “Amerika mati” atau “pancung mereka yang menghina Islam”.


Kebanyakan daripada mereka adalah penyokong kumpulan pelampau Front Pembela Islam, yang terkenal kerana serangan bersenjata tanpa provokasi terhadap puak liberal, pondan dan di kelab malam, juga Jemaah Anshorut Tauhid, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh AS, awal tahun ini.

Ada antara penunjuk perasaan, membawa lastik.

Beberapa ratus anggota polis yang membawa kelengkapan rusuhan bersama dua kenderaan berperisai lengkap dengan meriam air dan trak bomba, mengawal bangunan kedutaan AS.

Ketua Polis Jakarta Tengah, Angesta Romano Yoyol menganggarkan jumlah penunjuk perasaan sekitar 700 orang.

Katanya, tujuh anggota polis cedera dalam rusuhan itu dan dibawa ke hospital.

Jurucakap Polis Jakarta, Rikwanto mengesahkan, beberapa penunjuk perasaan ditahan tetapi tidak dapat memberi jumlah sebenar.

“Kami menggunakan meriam air dan tembakan amaran iaitu mengikuti prosedur standard untuk tunjuk perasaan ganas seperti ini,” katanya. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment