Tuesday, September 18, 2012

GT200 semarak lagi api dendam




         
HASSAN ialah antara ratusan orang yang ditahan di selatan Thai oleh pihak berkuasa tentera negara itu dengan menggunakan alat pengesan bom yang didakwa pakar sebagai palsu dan tidak berguna.

Skandal berhubung penggunaan alat pengesan GT200 oleh tentera Thai meningkatkan dendam penduduk wilayah berkenaan yang majoritinya beragama Islam terhadap kerajaan.


Wilayah berkenaan dilanda keganasan sejak lapan tahun lalu kerana perjuangan untuk menuntut kuasa autonomi yang lebih luas. Keganasan yang meragut hampir 5,300 nyawa itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir.

Aktivis hak asasi manusia berkata, lebih 400 orang dipenjarakan, ada yang sehingga dua tahun, berpunca daripada penggunaan alat berkenaan yang kini menjadi tumpuan siasatan kes penipuan di Britain.


“Saya sedang bermain bola sepak di sekolah apabila ada orang menembak ke arah askar berhampiran,” kata Hassan. Dia ditahan tanpa tuduhan berhubung kejadian pada 2008 di Yala itu, antara tiga wilayah selatan Thai yang bergolak.


“Anggota tentera memasuki sekolah untuk mencari lelaki yang bertanggungjawab melepaskan tembakan. Mereka memaksa kami beratur dan menggunakan GT200. Antenanya menunjuk ke arah saya. Saya terus ditahan,” kata Hassan yang merayu supaya identitinya dirahsiakan kerana bimbang langkahnya bercakap mengenai penahanannya itu akan menyebabkan pihak berkuasa Thai bertindak balas.

Dikatakan berupaya menjejaki kesan letupan, bahan peletup dan juga dadah, GT200 menjadi alat pengesan utama tentera Thai.


Alat bimbit itu yang didakwa dijana elektrik statik pengguna, diiklankan sebagai alat yang menggunakan bahan pengesan dengan ‘kad penggera’ di dalam bekas plastik untuk menghidupkan fungsi antenanya bagi menghala ke arah bahan letupan.

Bukti ketidakberkesanan alat pengesan GT200 itu yang dijual oleh Global Technical Ltd, syarikat yang berpangkalan di Britain, sudah lama diketahui. Pakar menyifatkannya sebagai tidak lebih daripada sebuah radio dengan antenanya terlekat pada plastik yang tidak berguna walaupun syarikat terbabit mendakwa ia boleh mengesan bahan letupan sejauh beberapa ratus meter.


Julai lalu, lelaki di sebalik penciptaan GT200 itu didakwa di Britain atas tuduhan ‘tidak amanah’ dalam memberi keterangan mengenai kemampuan alat itu yang didakwanya berupaya mengesan bahan letupan.


Beberapa ahli perniagaan Britain menanti untuk dibicarakan kerana menjual alat yang tidak berguna itu di seluruh dunia termasuk di Iraq.


Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand merumuskan, alat berkenaan hanya berfungsi 25 peratus, kadar kejayaan yang menurut pengkritik tidak lebih daripada satu kebetulan.


“Melambung wang syiling mungkin akan memberi keputusan yang lebih tepat,” kata Angkhana Neelapijit dari Yayasan Keadilan Untuk Keamanan, kumpulan yang membongkar skandal itu.


“Penduduk di selatan tahu bahawa GT200 itu palsu sejak ia mula digunakan pada 2007. Tetapi, pihak berkuasa enggan mendengar aduan. Ia menyebabkan kepercayaan mereka terhadap kerajaan dan tentera luntur sama sekali,” kata Angkhana. Agensi penyiasatan tertinggi Thai kini merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Global Technical dan pengedarnya di negara itu.


Malangnya pihak berkuasa tentera yang berpengaruh enggan mengaku bahawa mereka tertipu dengan alat itu selepas membelanjakan kira-kira RM60 juta untuk membelinya. Mereka juga enggan memohon maaf kepada mangsa yang mereka tahan yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi sebagai kesilapan melampau mahkamah.


Menurut Hassan, dia diancam dan disoal siasat sepanjang dalam tahanan serta dipaksa menuduh beberapa rakan sekolahnya menerusi sekeping gambar.


Antara mereka ialah Ayub yang mendakwa ditahan tanpa sebarang bukti selama dua tahun sebelum dibebaskan tanpa sebarang perbicaraan atau permohonan maaf.


“Saya begitu marah. Mereka menahan saya selama dua tahun. Saya amat bimbang jika ia berulang lagi,” kata Ayub kepada AFP. Dia juga meminta supaya identitinya dilindungi.


Kesan daripada kejadian itu, katanya, dia kini dicop sebagai orang yang pernah dituduh mempunyai hubungan dengan militan. Kumpulan berkenaan terbabit dalam perjuangan bersenjata, membunuh penduduk beragama Buddha dan juga Islam yang disyaki pembelot.


Tentera Thai menolak tuduhan melakukan penahanan membuta tuli berdasarkan alat bermasalah itu.


“Kami menemui bukti kukuh - pistol, senjata dan bom tangan. Kerana itu kami menahan mereka,” kata Timbalan Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Pramote Promin, ketika memberi taklimat secara lebih meluas mengenai isu penahanan penduduk Islam.


“Ia mungkin satu halusinasi. Tetapi, banyak kali kami menemui senjata. Ia mungkin secara kebetulan, tetapi alat itu membantu operasi,” katanya. Menurut Pramote, keberkesanan GT200 itu mungkin sesuatu yang mengatasi ‘keupayaan sains.’ Walaupun memuji alat berkenaan, tentera Thai nampaknya sudah menghentikan penggunaan alat pengesan itu untuk menahan orang yang mereka syaki pejuang selepas bergantung dengannya sepanjang 2007 hingga 2010, kata penduduk Yala dan Pattani.


Tetapi, tentera masih memeriksa kereta dan jalan raya dengan menggunakan alat itu. Ia meningkatkan kebimbangan kerana jika digunakan secara berterusan, ia akan meluaskan ancaman nyawa mereka dan orang awam yang sepatutnya mereka lindungi.


“Ia skandal besar,” kata Jessada Denduangboripant, pakar biologi di Universiti Chulalongkorn, Bangkok.


Beliau, antara pakar Thai yang pertama mempersoalkan alat itu, tidak yakin badan penyiasat utama negara itu akan menyalahkan ‘golongan berpengaruh’ di sebalik pembelian alat pengesan berkenaan.


Tetapi, selagi pihak berkuasa enggan mengaku kesilapan mereka, mangsa akan terus dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan, kata Kaosar Aleemama dari Pusat Peguam Muslim yang mewakili Hassan dan Ayub.


“Mangsa tidak pernah mendengar seseorang berkata, ‘Saya mohon maaf,’ kerana mengambil kebebasan mereka. Ia isu yang membabitkan maruah manusia,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment