TEHERAN: Iran mampu mengatasi sekatan ekonomi ‘tidak bertamadun’ yang dilaksanakan oleh Barat berhubung program nuklearnya.
“Sekatan itu adalah tidak bertamadun. Ia adalah perang terhadap sebuah negara. Tetapi Iran akan mengatasinya,” kata pemimpin tertinggi Republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei ketika berucap di Khorasan Utara, wilayah timur laut negara itu.
Beliau turut menuduh Barat menipu mengenai tawaran menarik balik sekatan berkenaan jika Iran memberi jaminan untuk menyokong dakwaan bahawa program nuklearnya hanya untuk kepentingan awam.
Barat mengesyaki Iran berusaha menghasilkan senjata atom menerusi program nuklear itu.
Teheran bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan. Khamenei berkata, sekatan itu mencetuskan masalah kepada Iran. Di samping itu, beberapa kesilapan pengurusan dalam menangani langkah berkenaan merumitkan lagi keadaan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terinci mengenai perkara itu.
Pemimpin itu turut menolak tanggapan bahawa sekatan itu berkait dengan program nuklear negaranya, seperti yang didakwa Barat.
“Amerika Syarikat dan beberapa kerajaan Barat mengaitkan sekatan itu dengan program nuklear Iran. Mereka sebenarnya menipu,” kata Khamenei.
Katanya, Iran menjadi sasaran sekatan sejak revolusi Islam pada 1979 kerana tentangannya terhadap kuasa dunia.
Barat meningkatkan sekatan ekonomi terhadap Republik Islam itu sejak dua tahun lalu, menyebabkan eksport dan pengeluaran minyak Iran menurun, nilai mata wangnya merudum, ekonominya lembap dan jumlah penganggur bertambah. Rundingan antara Iran dengan kuasa besar mengenai program nuklearnya terhenti sejak beberapa tahun lalu.
Teheran juga berdepan dengan beberapa sekatan antarabangsa yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment