Thursday, October 11, 2012

Terpaksa tumpang rumah adik



Terpaksa tumpang rumah adik - Perak - Sinar Harian:

Terpaksa tumpang rumah adik
Keadaan rumah yang tinggi menyebabkan berlaku menyukarkan Hamidah untuk bergerak terutamanya ke bilik air.
Warga emas tidak mampu sewa rumah selepas kediaman terbakar

PERAK TENGAH-  Akibat tidak mampu membayar sewa rumah, pasangan warga emas di sini terpaksa menumpang rumah milik adiknya di Kampung Kota Pagar, Parit setelah kediaman mereka hangus dalam  kebakaran pada 17 Ogos lalu.

Warga emas, Maimun Husin, 73, dan isterinya Hamidah Uda Zainal, 76, sebelum itu menyewa di sebuah rumah di sini  dengan bayaran sewa sebanyak RM200 sebulan.

Maimun berkata, dia suami isteri bernasib baik apabila adiknya membenarkan mereka tinggal di rumah yang tidak didiami buat sementara waktu.

Menurutnya, selepas rumah mereka terbakar dia bersama isteri tinggal  sehelai sepinggang apabila kesemua barangan berharga tidak dapat diselamatkan.

"Saya dan isteri kini hanya menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan makan dan minum kerana tidak mampu bekerja akibat faktor usia.

“Bagi membina rumah sendiri agak mustahil kerana kewangan kami hanya cukup untuk makan minum sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Maimun berharap pihak berkenaan dapat membina segera rumahnya kerana rumah yang diduduki kini agak tinggi dan menyukarkan isterinya untuk bergerak kerana tidak mampu berjalan dengan baik disebabkan mempunyai masalah lutut dan kaki.

“Rumah yang kami diami sekarang agak tinggi menyebabkan isteri terpaksa lebih berhati-hati untuk menuruni tangga jika mahu ke bilik air yang berada di bahagian bawah rumah.

“Memang sukar namun ini sahaja tempat yang kami ada untuk menumpang sementara menunggu bantuan rumah yang dijanjikan,” katanya yang mempunyai seorang anak.

Besar harapan Maimun supaya rumah itu dapat dibina cepat supaya mereka dapat menjalani hidup lebih selesa.

Sementara itu, Penghulu Mukim Layang-layang Fadzil Lazim ketika dihubungi berkata, bantuan rumah kepada warga emas masih di dalam proses.

“Namun begitu, mereka tidak perlu bimbang kerana bantuan itu akan diperoleh tetapi perlu bersabar akibat melalui beberapa proses tertentu.

“Kita tidak akan membiarkan perkara ini begitu sahaja kerana kita juga sudah sedia maklum keadaan warga emas berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment