Sunday, October 28, 2012

Selamatkan Rohingya




         
BANGKOK: Human Rights Watch (HRW) mendesak Myanmar melindungi masyarakat Islam Rohingya dan mengingatkan, situasi dihadapi etnik terbuang itu akan menjadi lebih buruk jika punca kemelut itu tidak ditangani.

Pertubuhan hak asasi manusia itu berkata, kerajaan perlu segera memberikan perlindungan kepada masyarakat Rohingya itu ketika mereka berdepan dengan serangan ganas penganut Buddha di kawasan terbabit.


Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson, berkata perlindungan perlu diberikan kepada komuniti Rohingya dan penganut Buddha. “Kami menerima imej satelit menampakkan bagaimana kerosakan dialami ke atas rumah dan bangunan lain di kawasan Kyaukpyu yang didiami masyarakat Rohingya,” katanya.

Kyaukpyu adalah bandar utama di negeri Rakhine di barat Myanmar dan menempatkan permulaan saluran paip utama bagi menyalurkan gas ke China. Konflik baru di antara masyarakat Rohingya dan etnik Rakhine (beragama Buddha) tercetus beberapa hari lalu menyebabkan ribuan orang menjadi pelarian.


Masyarakat Rohingya tidak diiktiraf sebagai warga Myanmar dan mereka menjadi sasaran utama etnik Rakhine.


Kerajaan mendakwa, lebih 150 terbunuh sejak pertumpahan darah bermula pada Jun lalu tetapi angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Jurucakap kerajaan Rakhine berkata, mereka “tersilap kiraan” apabila mendakwa hanya 67 maut dan mengubah angka itu menjadi lebih 100 orang. Robertson berkata, berdasarkan kenyataan kedua-dua pihak, korban konflik itu dipercayai lebih ramai daripada apa yang diumumkan. Kenyataan HRW turut disokong Timbalan Pengarah Amnesty International Asia Pasifik, Isabelle Arradon.


“Pertempuran terbaru menjadi bukti bahawa pihak berkuasa perlu segera campur tangan bagi melindungi semua pihak dan mereka perlu menamatkan amalan diskriminasi serta keganasan,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment