Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my
KOTA BHARU: “Itu hak kita untuk melaksanakan hudud, kita tidak paksa orang lain (bukan Islam) mematuhinya,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulas sama ada undang-undang Islam itu masih lagi menjadi agenda Pas selepas kini memberi tumpuan kepada matlamat negara berkebajikan.
Beliau menegaskan, pelaksanaan hukum berkenaan tetap menjadi fokus utama sebaik Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Katanya, hukum Islam itu akan dilaksanakan terhadap umat Islam saja manakala penganut agama lain tidak termaktub. “Umat Islam wajib patuh tetapi bukan Islam ada hak mereka yang boleh dilakukan tanpa dikenakan hudud.
“Sebagai contoh, jika bukan Islam meminum arak, hudud tak boleh dikenakan terhadap mereka kerana agama mereka tidak melarang,” katanya kepada media selepas ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Sebelum ini, Isu hudud tidak disentuh langsung oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya bertajuk, Negara Berkebajikan Teras Perpaduan.
Sementara DAP pula berkeras menentang pelaksanaannya jika pakatan itu berjaya memerintah negara.
Mengulas tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada Himpunan Kebangkitan Rakyat, Jumaat lalu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Abdul Hadi berkata, Pakatan Rakyat belum memutuskan siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri jika berjaya menguasai Putrajaya.
Sebaliknya, beliau menegaskan, fokus utama pembangkang ialah menewaskan Barisan Nasional (BN).
“Sesiapa saja boleh bercakap dalam ceramah tetapi ketetapan belum dibuat, yang penting menang dulu, barulah bincang siapa Perdana Menteri dan bagaimana mekanisme pemilihannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment