KOTA BHARU: “Murtad ini bukan disebabkan orang Kristian atau paderi. Saya nak kata tidak. Orang Melayu murtad kerana dia sendiri memperlekehkan Islam. Umno tolak Islam, maka nampak dia perlekehkan Islam,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau dengan tegas menyatakan pendiriannya sambil menggambarkan Umno jelas menolak Islam berdasarkan dasar perjuangan parti itu selain menyifatkan tindakan itu dianggap murtad.
Menurutnya, tidak kira siapa, malah Umno sekali pun, jika dengan sengaja menolak Islam sudah dianggap murtad.
“Kalau Umno ajak nak jaga Islam, yang ulama kamu (Umno) tolak. Bila Umno buang Islam dari dasar hidup, maka Umno agama apa? Agama apa yang Umno pakai? Kristian ke Buddha ke atau tidak ada agama? “Tidak kira siapa pun, kalau dia tok guru sekali pun kalau murtad, murtadlah. Kalau tolak Islam, walaupun tidak ada mufti beritahu, kalau sengaja tolak Islam, murtad,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan sempena Muktamar Pas Tahunan Pas Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Muktamar yang berlangsung sejak Jumaat lalu melabuhkan tirainya selepas tiga hari bersidang dengan ucapan penggulungan disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas yang ada sekarang bukan diwujudkan orang Pas, sebaliknya mereka hanya menyambung perjuangan ulama yang ditolak Umno.
“Pas yang diperjuangkan sekarang ini bukan orang Pas yang buat. Kita tolong membajai Pas yang dibuat Biro Ulama Umno pada 1961.
“Umno ketika itu menolak ulama dia sendiri, jadi bila Umno sekarang nak ajak Pas bela Islam (sedangkan) ulama sendiri dia tolak, mana boleh terima ulama kami (Pas). Ini logiknya,” katanya.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mempertahankan tindakan Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan sempena perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Jumaat lalu.
“Tak salah doa macam tu. Kalau serangga pun kita bunuh, macam nyamuk dan pacat, kita racun. Tetapi, ini (Umno) menyebabkan akidah, akidah salah. “Apabila Umno tolak Islam, apa taraf Islam? Takkan sebab dia hormatkan Islam, dia buang Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment