Monday, November 19, 2012

Pas mahu Hadi jadi PM, DAP nak Anwar






         
SIAPA sebenarnya calon pilihan Perdana Menteri Pakatan Rakyat? Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selama ini dalam siri ceramah atau apa saja program pakatan Pakatan Rakyat, apatah lagi dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar disebut-sebut dilantik ke jawatan nombor satu negara itu. Begitu juga DAP apabila Lim Kit Siang pada ceramah di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lalu menyatakan Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.


Nampaknya, nada itu pada hakikatnya tidak seirama dengan Pas. Bagi Pas, mereka bertegas mahu Presiden parti itu dilantik sebagai Perdana Menteri, dan bukan Anwar, jauh sekali Kit Siang.

Hakikatnya itulah suara hati ahli Pas sejak dulu lagi. Ia rahsia terbuka yang terbuku dalam fikiran setiap mereka sejak bekerjasama dalam Pakatan Rakyat. Tiada yang lebih utama melainkan melihat sendiri ‘bos’ nombor satu mereka mengetuai kerajaan jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara selepas PRU-13.


Wakil Dewan Ulama, Hairun Nizam Mat Hussain pada Muktamar Tahunan Pas ke-58, kelmarin menghangatkan suasana dingin medan utama Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa apabila dengan tegas mahu Abdul Hadi mengetuai Kabinet itu nanti. Pada sesi penggulungan semalam, wakil Dewan Muslimat, Aiman Athirah Al-Jundi yang juga Ketua Penerangan turut mengulangi ketegasan ahli parti yang mahu Ahli Parlimen Marang itu dilantik ke jawatan berkenaan. Bukan itu saja, malah mereka mahu Pas menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat.


Sejak Muktamar Tahunan Pas 1982, parti itu menyimpan impian untuk menguasai Malaysia. Hasrat merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) menjadi tunggak perjuangan.

Selepas bergerak secara solo berdepan dengan Umno/BN, kini Pas bergabung dengan PKR dan DAP berasaskan konsep tahaluf siyasi atau muafakat politik yang mereka ijtihadkan melalui Majlis Syura Ulama. Persepakatan itu berjaya merampas lima negeri daripada BN pada PRU 2008, kini mensasarkan Putrajaya pula sebagai simbol peralihan kuasa daripada Umno.


Ironinya, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dalam ucapan dasarnya mengakui bahawa jika menang sekali pun, pakatan pembangkang selepas itu akan bersaing sesama sendiri dek kerana perbezaan dasar. Bak kata orang tidur sebantal, mimpi lain-lain.

Dan persaingan menjadi Perdana Menteri bukan sesuatu yang remeh tetapi ia adalah klimaks kepada ‘persepakatan’ yang dibaratkan palsu oleh pemerhati politik.


Itulah sebenarnya yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Kepada rakyat, mereka mencanangkan persepakatan yang utuh, namun dalam kalangan mereka tidak bersatu. Pas ada impiannya, DAP ada idamannya manakala PKR menghitung hari mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Rakyat boleh menilai sendiri situasi permainan politik pembangkang menjelang PRU-13 akan datang. Muktamar kali ini mendedahkan ketidaksepakatan mereka berbanding BN dan ini juga medan bagi Pas menunjukkan kekuatan mereka kepada DAP dan PKR.

No comments:

Post a Comment