Monday, November 19, 2012

Pembangkang Syria hantar duta ke Paris



Francois Hollande (kiri) dan Mouaz Alkhatib, semasa satu sidang media bersama di Istana Elysee, Paris, Perancis, kelmarin. - AFP
PARIS 18 Nov. - Perancis, semalam menjemput pakatan pembangkang baharu Syria, Gabungan Kebangsaan Syria untuk menghantar seorang duta ke Paris, meskipun negara itu dilihat masih berhati-hati berhubung isu membekalkan senjata.
Pelawaan itu dibuat ketika Presiden Perancis, Francois Hollande menemui ketua Gabungan Kebangsaan Syria, Mouaz Alkhatib di Paris, semalam.
Jawatan itu akan diisi seorang pakar akademik, Monzer Makhous, tetapi masih tidak jelas sama ada penghantaran duta itu akan dibuat sebelum satu peralihan kerajaan Syria dibentuk.
Khatib dalam pada itu mengulangi janjinya untuk membentuk satu kerajaan peralihan terdiri daripada teknokrat berbanding orang politik dan meliputi wakil semua etnik serta agama di Syria.
"Semua itu tidak ada masalah. Gabungan telah wujud dan kami akan memanggil calon-calon yang layak bagi membentuk kerajaan teknokrat untuk berkhidmat sehinggalah kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad," kata Khatib kepada wartawan.
Namun, beliau sehingga kini tidak mendapat perkembangan positif dari negara-negara Barat berhubung rayuannya untuk mendapatkan bekalan senjata bagi menyokong kumpulan pemberontak.
"Pemberontak Syria memerlukan senjata, tetapi masyarakat antarabangsa turut perlu mengamalkan pengawalan," kata Hollande.
Beliau mengakui Perancis tidak boleh bertindak tanpa perjanjian daripada negara anggota Kesatuan Eropah (EU) kerana blok itu dengan ketat mengharamkan penghantaran senjata ke Syria.
"Zon perlindungan hanya boleh dibuat dalam rangka kerja komuniti antarabangsa. Selepas kerajaan alternatif Syria dibentuk, mereka sendiri dapat mengesahkan tuntutan perlindungan dan sokongan," kata Presiden Perancis itu selepas menemui Khatib.
Sementara itu, selepas beberapa minggu pertempuran, pemberontak di timur Syria semalam berjaya menawan lapangan terbang Hamdan di bandar Albu Kamal, wilayah Deir Ezzor yang bersempadan dengan Iraq, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Tentera Syria sebelum ini menggunakan lapangan terbang itu sebagai pangkalan helikopter tempur mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_06/Pembangkang-Syria-hantar-duta-ke-Paris#ixzz2CgDG9Yz3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment