Monday, November 19, 2012

Israel terus bedil Genting Gaza



Kepulan asap tebal menyelubungi Gaza City selepas tentera Israel meneruskan kempen serangan besar-besaran yang masuk hari kelima ke atas Genting Gaza, semalam. - AP
GAZA CITY 18 Nov. - Serangan udara Israel ke atas bahagian tengah Gaza, hari ini menyebabkan 10 orang terbunuh, termasuk enam kanak-kanak Palestin dan tiga wanita, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan.
Dalam serangan udara berasingan, sekurang-kurangnya lapan wartawan pula cedera apabila pesawat pejuang Israel menyerang dua bangunan media di sini pagi ini.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qaudra berkata, seorang daripada wartawan itu hilang sebelah kakinya apabila serangan mengenai pejabat al-Quds TV di bangunan Showa dan Housari di kawasan perumahan Rimal.
Serangan pertama ke atas bangunan media itu dilancarkan pada kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia).
Saksi berkata, bangunan-bangunan berkenaan mengalami kerosakan teruk dan menyaksikan wartawan dipindahkan selepas serangan pertama sebelum dua lagi serangan dilancarkan di kawasan itu.
Serangan kedua berlaku pada kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia) dan mengenai bangunan Shuruq yang menempatkan pejabat al-Aqsa TV, di mana dua wartawan cedera.
Pengarah al-Quds TV, Imad Efranji mengutuk kejadian itu sebagai jenayah baru terhadap media.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Adham Abu Selmiya pula berkata, kanak-kanak berusia 18 bulan berkenaan, Iyyad Abu Khusa terbunuh dalam serangan di timur kem Bureij, tengah Gaza.
Ashraf berkata, dua abangnya berumur empat dan lima tahun kini berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, angka kematian akibat serangan udara Israel sejak Rabu lalu kini telah meningkat kepada 60 orang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_07/Israel-terus-bedil-Genting-Gaza#ixzz2CgEMmGwv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment