Monday, November 19, 2012

Lantai rumah jadi ‘dapur’ segera






         
SEREMBAN: “Seminggu sebelum kejadian ini, tiba-tiba air di dalam mangkuk tandas menggelegak hingga menakutkan saya,” kata Indon Abdullah, 61, yang dibelenggu ketakutan apabila mendakwa rumah didudukinya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini, pelik kerana lantainya terlalu panas sehingga boleh memanaskan air.

Menurutnya, dia dan suami, Abdul Rahman Gumpal, 70, menyedari kejadian itu jam 9 malam, Jumaat lalu selepas pulang dari masjid.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kejadian lain sehinggalah jubin panas ini terjadi.

“Ia seperti misteri kerana berlaku secara tiba-tiba dan pertama kali sejak 30 tahun kami tinggal di rumah ini,” katanya di sini, semalam.


Indon berkata, kejadian disedari suaminya apabila mendapati lantai jubin panas di luar rumah berhampiran garaj sehingga mampu mengeringkan air di dalam jag.


“Saya terkejut sebaik suami memberitahu kejadian itu dan tersentak sebaik memijak jubin depan rumah yang panas.

“Saya terus menghubungi Balai Bomba Senawang meminta bantuan, bagaimanapun disahkan tiada apa-apa berlaku.

“Buntu memikirkan masalah ini, saya dan suami kini sedang menunggu Jabatan Mineral dan Geosains negeri datang untuk melakukan pemeriksaan teliti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan, Mustafar Hamzah ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung perkara itu.

No comments:

Post a Comment