Thursday, November 1, 2012

Katalog peralatan rahsia tentera dilelong



LONDON 31 Okt. - Sebuah katalog versi salinan yang mendedahkan maklumat peralatan rahsia ketenteraan pada era Perang Dunia Kedua kini dilelong.
Katalog yang mengandungi gajet-gajet tentera seperti yang digunakan ejen James Bond setebal 76 muka surat itu disimpan oleh syarikat percetakan Sun Engraving Company.
Ia akan dilelong oleh pusat lelongan Bonhams pada harga permulaan 800 pound (RM3,918).
Dokumen yang diberi nama Per Ardua Libertas atau 'kebebasan menerusi kesusahan' itu disifatkan antara barangan yang sukar ditemui kerana ia dicetak kurang daripada 100 salinan sahaja.
Halaman katalog itu antara lain mendedahkan bagaimana kad daun terup boleh menunjukkan peta Eropah termasuklah arahan bagaimana melarikan diri dari kem tahanan perang Jerman.
Selain itu, ia turut mendedahkan bagaimana pemetik api boleh dijadikan sebagai kamera mini dan gigi emas boleh memuatkan kompas.
Kebanyakan ciptaan di dalam katalog itu adalah idea Christopher Hutton yang bekerja untuk agensi perisikan kerajaan, MI9.
Difahamkan, katalog itu digunakan bagi mengajar pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) tentang rahsia pengintipan Britain semasa perang sedang berlangsung.
Peralatan itu dipercayai disorokkan di dalam makanan yang dibekalkan untuk tahanan perang Britain dan dibawa masuk oleh pertubuhan Palang Merah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121101/lu_08/Katalog-peralatan-rahsia-tentera-dilelong#ixzz2AyM1og1X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment