Monday, November 5, 2012

Mangsa taufan Sandy hadapi cuaca sejuk



 
 
Bekalan bahan api masih terjejas di zon bencana

New York: Mangsa taufan Sandy di pantai timur terus berusaha mengatasi cuaca sejuk semalam di tengah kekurangan bahan api dan terputus bekalan elektrik, dua hari sebelum pilihan raya yang menyaksikan persaingan sengit antara Presiden Barack Obama dan lawannya dari Republikan, Mitt Romney.

Bekalan bahan api terjejas di zon bencana dan sejuta pengguna memperoleh bekalan elektrik ketika suhu hampir takat beku melanda bahagia timur laut Amerika Syarikat semalaman. Namun Datuk Bandar ini Michael Bloomberg memberi amaran kepada penduduk bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum bekalan kuasa pulih sepenuhnya dan kekurangan bahan api berakhir.
Obama, yang bersaing dalam tinjauan pendapat dengan Romney, mengarahkan pihak berkuasa maklum balas kecemasan untuk memintas “pita merah” kerajaan dan bekerja tanpa bertangguh untuk membantu kawasan bencana kembali normal secepat mungkin.

2.5 juta rumah belum pulih

Bekalan kuasa yang pulih menyalakan pencakar langit di Lower Manhattan buat kali pertama sejak hampir seminggu dan membenarkan 80 peratus daripada perkhidmatan kereta api bawah tanah bandar raya ini diteruskan. Namun kira-kira 2.5 juta rumah dan perniagaan masih belum pulih di seluruh timur laut, menurun daripada 3.5 juta Jumaat lalu.

Ketiadaan elektrik ditambah dengan kekurangan bahan api bermaksud sesetengah rumah mungkin kesejukan ketika cuaca sejuk tidak diundang melanda.

Jabatan kaji cuaca berkata suhu menurun kepada kira-kira 3 darjah selsius malam kelmarin dengan suhu takat beku dijangka berlaku minggu depan.
Bloomberg menggesa penduduk tanpa bekalan elektrik dan haba pergi ke tempat perlindungan di mana mereka boleh memanaskan diri dan menerima makanan. “Ketika ini cuaca sudah mula sejuk.”

Undi guna e-mel

Pihak berkuasa di seluruh kawasan timur laut yang teruk dilanda taufan semakin bimbang untuk menghantar pengundi yang terpaksa berpindah akibat Sandy, ke stesen pengundian untuk mengundi Selasa ini. Sejumlah besar pusat pengundian tidak dapat digunakan akibat limpahan air banjir di New York dan New Jersey.

New Jersey membenarkan pengundi yang kehilangan tempat tinggal akibat taufan Sandy untuk mengundi menerusi emel, sementara sesetengah pengundi di bandar raya ini mungkin memangkah peti undi dalam khemah Selasa ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment