Monday, November 5, 2012

Suu Kyi enggan bela Rohingya



Kanak-kanak Rohingya menikmati makan tengah hari yang serba sederhana di khemah pelarian Bawdupha, pinggir Sittwe, ibu negeri Rakhine, Myanmar, pada 2 November lalu. - AFP
YANGON 4 Nov. - Pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi enggan bersuara mengenai penderitaan yang dialami oleh anggota Rohingya beragama Islam di barat negara ini.
Sebaliknya, Suu Kyi menegaskan beliau tidak akan menggunakan 'kepemimpinan moral' untuk menyokong mana-mana pihak dalam konflik agama dan etnik di Rakhine.
Penerima Anugerah Nobel Keamanan tersebut berkata, puak Rakhine beragama Buddha dan puak Rohingya Islam masing-masing 'kecewa' dengan tindakannya yang tidak memihak kepada mana-mana puak yang bertelagah itu.
"Saya menggesa semua pihak mengamalkan toleransi dan saya tidak rasa seseorang perlu menggunakan kepemimpinan moral mereka bagi mempromosi satu agenda tanpa melihat sumber masalah itu,'' katanya kepada saluran televisyen BBC semalam.
Suu Kyi yang mengeluarkan kenyataan tersebut selepas bertemu Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso di sini berkata, beliau juga tidak boleh bersuara bagi pihak etnik Rohingya.
"Saya tahu orang ramai mahu saya memilih satu daripada etnik berkenaan, yang boleh menyebabkan kedua-dua pihak terbabit tidak menyukainya kerana saya enggan menyokong mereka,'' katanya.
Pemimpin demokrasi itu yang kini merupakan Ahli Parlimen selepas perubahan dramatik kerajaan pada tahun lalu berkata, satu peruntukan undang-undang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melihat masalah lain.
"Penyelesaian konflik itu tidak akan dicapai sekiranya mereka terus membunuh antara satu sama lain dan membakar rumah,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121105/lu_01/Suu-Kyi-enggan-bela-Rohingya#ixzz2BIsdlXht
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment