Sunday, February 24, 2013

10 cedera dalam dua serangan bom di Selatan Thailand




24 Februari 2013
BANGKOK - Sepuluh orang, termasuk seorang penolong pegawai daerah dan kanak-kanak lelaki tiga tahun, cedera dalam dua serangan bom berasingan di Pattani dan Narathiwat semalam.

Ketua polis daerah Muang, Tuandir Juthanan hari ini berkata enam sukarelawan pertahanan dan seorang penolong pegawai daerah cedera dalam serangan pada 8.50 malam di Kampung Talubuk, Muang, Patani.

Beliau berkata sebelum itu, sebutir bom meledak di bandar Pattani pada 7.30 malam namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Tayar juga dibakar di tengah-tengah jalan di 20 lokasi di Muang, Nongchik dan Yaring, kesemuanya di Pattani, malam semalam," katanya.

Beliau percaya motif serangan adalah balas dendam pemberontak terhadap kematian 16 pemberontak di Narathiwat pada 13 Feb dalam percubaan mereka melakukan serang hendap ke atas kem tentera laut di kawasan itu.  

Di Narathiwat, dua sukarelawan pertahanan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera setelah sebutir bom meledak di depan sebuah kedai serbaneka di Tanjung Emas, Raget, pada 4.20 petang.

Sebutir lagi bom meletup 20 minit kemudian di kawasan itu ketika polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, kata seorang jurucakap polis Narathiwat.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak puak disyaki pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat sembilan tahun lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment