Sunday, February 24, 2013

FSA beri amaran kepada Hezbollah



Satu mayat terbaring di jalanan selepas letupan kereta menggegarkan kawasan berhampiran ibu pejabat Parti Baath dan Kedutaan Rusia di Damsyik, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 31 orang maut. - AFP
DAMSYIK 21 Feb. - Komander Tentera Pembebasan Syria (FSA) memberi tempoh selama 48 jam kepada pergerakan Hezbollah Lebanon untuk menghentikan bedilan ke atas wilayah yang dikuasai pemberontak atau menerima serangan balas.
Ancaman itu dikeluarkan semalam selepas anggota pemberontak berjaya menembak jatuh jet pejuang tentera kerajaan selepas serangan udara membawa maut yang mengorbankan 20 orang di sebuah bandar di wilayah Damsyik.
Ketua Turus Tentera FSA, Jeneral Selim Idriss memberitahu AFP, Hezbollah telah lama terlibat dalam penentangan di Syria, tetapi mula bertindak melampau selepas membedil perkampungan berhampiran Qusayr, wilayah Homs dari lembah Bekaa di Lebanon.
"Hezbollah mencabul kedaulatan Lebanon dengan membedil wilayah Syria dan kedudukan FSA.
"Dalam tempoh beberapa minggu lalu, Hezbollah telah membedil perkampungan di sekitar Qusayr dari wilayah Lebanon dan tindakan itu tidak boleh diterima," ujar Idriss.
Idriss berkata, pemberontak memberi tempoh selama 48 jam kepada Hezbollah untuk menghentikan bedilan itu atau mereka akan melancarkan serangan balas.
"Pemberontak di kawasan Qusayr akan dibantu dengan anggota FSA dari kawasan lain yang lengkap dengan senjata jarak jauh," katanya.
FSA turut meminta Presiden dan Perdana Menteri Lebanon untuk campur tangan dalam hal itu, tetapi Perdana Menteri, Najib Mikati menolak sebarang hubungan dengan pemberontak Syria.
Sementara itu di Damsyik, seorang pemain bola maut dan empat yang lain cedera selepas dua bedilan mortar menggegarkan sebuah stadium di bandar raya itu, lapor agensi berita SANA yang menuduh 'pengganas' melakukannya.
Sekurang-kurangnya 122 orang maut di seluruh Syria semalam, termasuk 65 orang awam, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Sementara itu, dalam serangan bom kereta berhampiran ibu pejabat parti pemerintah, Parti Baath dan Kedutaan Rusia di Damsyik, hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 31 orang maut. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130222/lu_05/FSA-beri-amaran-kepada-Hezbollah#ixzz2LjxT4Q2R
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment