Sunday, February 24, 2013

Guna pangkat ATM mesti dengan izin



KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan memandang berat isu penggunaan pangkat oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara tanpa mendapat keizinan Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penggunaan pangkat selepas bersara adalah satu kesalahan dan pegawai yang ingkar dengan arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
"Kementerian memandang serius perkara ini. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan semula pangkat (yang digunakan semasa) berkhidmat dengan ATM sedangkan mereka tidak dibenarkan oleh pemerintah tertinggi ATM iaitu Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas melawat Hari Terbuka Kementerian Pertahanan di The Curve, Damansara di sini semalam.
Unit Komunikasi Korporat kementerian itu kelmarin mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut proses pemakaian gelaran pangkat terkandung dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) yang menetapkan syarat yang perlu ada pada seseorang pegawai sebelum layak menggunakan gelaran itu.
"Ada yang telah bersara, kalau dia dibenarkan oleh MAT untuk gunakan pangkat berkenaan, mereka boleh gunakan pangkat itu, kalau telah ditamatkan, dan tak dibenarkan guna pangkat tu, seharusnya tak gunakan. Memang ada akta di bawah MAT. Kebanyakan pesara wajib dibenarkan (menggunakan gelaran pangkat)," katanya.
Ismail berkata, pada masa ini terdapat beberapa pegawai bersara yang menggunakan gelaran pangkat itu setelah mendapat keizinan MAT.
"Memang ada yang dibenarkan macam Kolonel bersara, Brig. Jen. bersara, tetapi bukan sewenang-wenangnya sebab ada yang telah dilucutkan. Secara puratanya tidak banyak yang boleh gunakan," katanya. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2LlqU72Gp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment