Sunday, February 24, 2013

16 terbunuh dalam letupan bom di India



Dua anggota Agensi Penyiasatan Kebangsaan India memerhatikan kesan serangan bom yang meletup di sebuah bangunan membeli belah di Hyderabad, India, kelmarin. - AGENSI
HYDERABAD 22 Feb. - Dua serangan bom yang dilancarkan secara serentak di kawasan membeli-belah yang padat dengan pengunjung di sini semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh.
Serangan tersebut yang berlaku kira-kira pukul 7 malam di luar sebuah panggung wayang dan stesen bas, turut menyebabkan seramai 116 orang cedera, enam daripadanya parah.
Perdana Menteri India, Manmohan Singh menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan pengecut kerana menyebabkan ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Sushilkumar Shinde berkata, bom terbabit dipasang pada dua buah basikal yang diletakkan secara berasingan dengan jarak 150 meter di daerah Dilsukh Nagar.
Katanya, kawasan itu kebiasaannya dikunjungi ramai orang yang membeli-belah di kawasan berhampiran.
Apabila disoal tentang sebarang suspek yang disyaki oleh kerajaan, Shinde menjawab, pihaknya masih menjalankan siasatan.
Hyderabad didiami kira-kira 10 juta penduduk Islam dan Hindu, dan terletak di negeri Andhra Pradesh serta merupakan bandar industri teknologi maklumat.
Sementara itu, Ketua Menteri Andhra Pradesh, Kiran Kumar Reddy berkata, serangan berkenaan telah mengganggu keamanan masyarakat di negeri ini.
Kejadian semalam merupakan yang pertama berlaku di India sejak serangan bom di luar bangunan Mahkamah Tinggi di New Delhi pada September 2011, yang mengorbankan 13 orang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130223/lu_03/16-terbunuh-dalam-letupan-bom-di-India#ixzz2Ljvw4Egj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment