Sunday, February 17, 2013

Pengusiran Xenophon: PRU13 mungkin dicemari



Muhammad Faizal,17 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pengusiran Senator Australia Nick Xenophon semalam menandakan sistem demokrasi di negara ini pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan dicemari.


Beliau yang dihubungi menjelaskan, kedatangan Xenophon adalah dengan tujuan melihat sistem demokrasi negara ini berjalan dengan harmoni terutama pada pilihan raya nanti dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara.

"Saya tidak nampak apa masalah yang timbul jika Xenophon dibenarkan memasuki negara ini, beliau hadir sebagai pemerhati dalam melihat keharmonian demokrasi pada PRU13 nanti.

"Namun apa yang ingin saya jelaskan adalah penahanan beliau ini sebenarnya menggambarkan bahawa keharmonian demokrasi akan dicemari terutamanya pada PRU13," kata beliau.

Mahfuz turut mempersoalkan tindakan kerajaan terutamanya pihak polis mahupun imigresen yang boleh berunding dengan sekumpulan rakyat Filipina yang mendarat di Sabah walaupun mereka telah membawa senjata dan datang untuk menimbulkan huru-hara, namun senator bebas itu datang dengan tujuan yang baik dengan dokumen yang lengkap telah ditahan.

"Yang datang bawa senjata dengan niat untuk menimbulkan huru-hara kerajaan masih boleh berunding, kenapa yang datang dengan tujuan yang baik tanpa ada sebarang niat kerajaan sanggup menahan.

"Saya kecewa kerajaan tidak dapat membezakan tindakan yang mereka ambil terutama dalam senario untuk mencetus huru-hara dan juga dasar keharmonian demokrasi," sambung beliau lagi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Malaysia akan mengambil pendekatan segera iaitu memanggil balik Xenophon dan membenarkan beliau memasuki negara ini jika mahu mengembalikan keharmonian demokrasi, apatah lagi PRU13 semakin hampir.

Senator bebas itu adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia selepas kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan pemerhati bebas bagi memantau pilihan raya umum akan datang.

Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.

Delegasi itu dijadualkan bertemu Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Senator Australia Nick Xenophon telah diusir pulang jam 10.30 malam tadi selepas ditahan selama 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kerana didakwa menjadi 'musuh negara'.

Xenophon, yang mendarat di terminal LCCT di Sepang pada jam 6.40 pagi semalam dengan penerbangan AirAsia, ditahan pihak berkuasa Imigresen sebaik saja tiba.

No comments:

Post a Comment