Beirut: Rejim Syria meningkatkan penggunaan bom berangkai yang diharamkan, kata kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dalam satu laporan semalam ketika konflik di negara itu memasuki tahun ketiga.
Dalam tempoh enam bulan lalu, tentera Syria telah menggugurkan sekurang-kurangnya 156 bom berangkai di 119 lokasi di seluruh negara, menyebabkan kemalangan jiwa terhadap orang awam, kata Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan yang berpangkalan di New York. Dua serangan sejak dua minggu lalu membunuh 11 oarng awam termasuk dua wanita dan lima kanak-kanak, kata laporan itu. Kumpulan terbabit berkata, ia memperoleh penemuan itu ekoran siasatan di tempat kejadian dan menganalisis lebih 450 video amatur. Bom berangkai membentuk lebih banyak bom kecil, ia menyebabkan ancaman kepada orang awam kerana kebanyakannya tidak meletup serta-merta. Banyak negara melarang penggunaannya.
Laporan itu dibuat sehari selepas rakyat Syria menyambut ulang tahun kedua kebangkitan menentang Presiden Bashar al-Assad. Pemberontakan bermula dengan bantahan secara aman tetapi sebagai tindak balas terhadap kekerasan rejim ia akhirnya berubah menjadi perang saudara. Perang itu telah membunuh kira-kira 70,000 orang dan menyebabkan empat juta daripada 22 juta penduduk Syria terpaksa berpindah, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Konflik masih menemui jalan buntu walaupun kumpulan penentang mencapai kejayaan baru-baru ini yang menguasai sebahagian besar wilayah utara dan timur Syria. Tentera rejim secara rutin menyerang kubu penentang dengan artileri dan menggugurkan bom dari udara menyebabkan orang awam terpaksa melarikan diri mencari perlindungan untuk keselamatan. - AP
No comments:
Post a Comment