Sunday, March 17, 2013

Persetujuan bersejarah


New York: Negara Islam dan Barat mencapai persetujuan bersejarah di PBB semalam apabila wakil masing-masing menyokong deklarasi menetapkan kod etika bagi memerangi keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.

Walaupun sebelum ini mengancam untuk menghalang deklarasi itu, diplomat Iran, Libya, Sudan dan negara Islam lain akhirnya bersetuju apabila deklarasi berkenaan menyatakan bahawa, keganasan terhadap wanita tidak boleh dibenarkan “atas apa saja pertimbangan budaya, tradisi atau agama.” Negara Barat pula, terutama dari Scandinavia, mengendurkan tuntutan mereka untuk mengaitkan hak pengamal homoseksual dan golongan menghadapi masalah seksual.


Iran, Vatican, Russia dan negara Islam membentuk pakatan bagi melemahkan gesaan supaya standard global lebih tegas diperkenalkan bagi mengekang keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak. Persetujuan dicapai dua minggu selepas semua 193 diplomat di PBB berunding mengenainya. Kira-kira 6,000 pertubuhan bukan kerajaan berada di New York untuk menghadiri pertemuan Suruhanjaya Status Wanita itu.

Sebaik persetujuan itu diumumkan di Ibu Pejabat PBB, mereka bersorak dan bertepuk tangan meraikannya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, anggota badan pertubuhan dunia itu komited untuk bertindak bagi menghalang keganasan dan memberikan keadilan serta bantuan kepada mangsa. - AFP

No comments:

Post a Comment