Tuanku berkenan hadiri tahlil anggota tentera terkorban
Sultan Muhammad V, bertanyakan khabar ibu dan bapa Allahyarham Ahmad Hurairah di kediamannya di Bayu Lalang, selepas tahlil, malam kelmarin.
PASIR MAS – Kesedihan ahli keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, anggota tentera yang terkorban ketika mempertahankan negara di Sungai Nyamuk, Selasa lalu masih dirasai.

Bagaimanapun kunjungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk turut bertahlil di kediaman keluarganya di Bayu Lalang, malam kelmarin sedikit sebanyak  dapat mengubati kesedihan keluarga berkenaan.

Baginda tiba kira-kira jam 9.30 malam dengan disambut pemimpin tempatan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tahlil dihadiri kira-kira 200 penduduk, saudara mara serta pegawai beberapa jabatan itu diketuai Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Selesai tahlil, baginda bertanyakan khabar ibu mangsa, Rahmah Mamat, 50, dan bapanya, Ismail Husin, 55.

Pada masa sama, baginda turut mendapatkan perkembangan Ops Daulat di Lahad Datu daripada Panglima 8 Briged, Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Sebelum berangkat pulang, baginda turut beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Rahmah meluahkan rasa sedih serta gembira dengan kunjungan Sultan Kelantan yang berkenan hadir tahlil Allahyarham anaknya sebagai tanda simpati dan penghormatan baginda kepada Allahyarham.

“Sebagai ibu, saya gembira dan cukup terharu baginda sanggup datang ke tahlil arwah,” katanya kepada pemberita.
Bapa Allahyarham, Ismail, turut meluahkan rasa gembira dan bangga dengan keprihatinan Tuanku berangkat ke majlis tahlil arwah anaknya.