Monday, March 25, 2013

Empat pengganas ditembak mati



Anggota tentera membawa masuk dua daripada empat mayat pengganas bersenjata dari Selatan Filipina yang berjaya ditewaskan dalam satu pertempuran ke dalam ambulans di kampung Tanjung Batu untuk dihantar ke hospital Lahad Datu.


LAHAD DATU - Ops Daulat yang dilancarkan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Batu dekat sini membuahkan hasil apabila mereka berjaya menembak mati empat pengganas yang bersembunyi di dalam sebuah rumah semalam.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut mengakibatkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh. Seorang pengganas turut tercedera dalam kejadian berbalas tembak tersebut.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ketika operasi, pasukan keselamatan telah menjejaki kehadiran dua pengganas Sulu sebelum mereka melarikan diri ke dalam sebuah rumah lalu berlaku pertempuran.
Katanya, ketika bertempur, salah seorang pengganas telah lari ke dalam sebuah rumah lain yang terletak berhampiran sebelum bertindak membakar kediaman berkenaan. Dia berjaya melarikan diri.
"Kita kemudian telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah selepas selesai bertempur sebelum menemui empat mayat iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak. Salah seorang dewasa dan kanak-kanak itu merupakan perempuan.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui namun terdapat sedikit bekalan makanan yang disimpan di dalam rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui seorang lagi kanak-kanak yang cedera dan kini dirawat di Hospital Sandakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2OViEJtzi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment