Monday, March 25, 2013

Musuh Putin ditemui mati

Musuh Putin  ditemui mati
Boris Berezovsky
 London: Seorang hartawan Russia yang memusuhi Presiden Vladimir Putin ditemui mati di tenggara England.

Polis di Thames Valley, bagaimanapun, menetapkan punca kematian Boris Berezovsky, 67, sebagai belum diketahui.
Pasukan keselamatan enggan mendedahkan identitinya tetapi ketika ditanya siapa orang itu, mereka menyatakan sedang menyiasat kematian lelaki berusia 67 tahun di kediamannya di Ascot, bandar 40 kilometer di barat London.


Berezovsky pakar dalam matematik sebelum bertukar kerjaya menjual kereta Mercedes.

Berhutang RM1.25 juta 

Baru-baru ini, Berezosky dilaporkan berhutang lebih £250,000 (RM1.25 juta) selepas bekas kekasihnya, Elena Gorbunova, menuntutnya menjelaskan hutang berjuta-juta dolar kepadanya.

Beliau mengaut kekayaan ketika Russia menswastakan aset awam pada awal 1990-an. Sebagai tukaran menyokong bekas Presiden Boris Yeltsin, beliau mendapat pengaruh politik dan membeli harta awam sektor minyak dan kenderaan pada harga rendah.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam kebangkitan Putin sebelum berselisih faham dan lari ke Britain untuk mendapat suaka politik awal 2000.
Berezovsky adalah antara tokoh yang dipanggil ‘oligarchs’ kerana bersengketa dengan Putin.

Selepas berkuasa, Putin membuat perjanjian dengan golongan itu - mereka boleh terus kaut untung selagi tidak mencabarnya dalam politik.

Pihak yang enggan mengikut kata Putin dipenjara seperti bekas ketua Yukos Oil, Mikhail Khodorkovsky, manakala orang lain seperti Berezovsky, lari.

Aset ahli perniagaan berkenaan juga dibeli syarikat awam atau hartawan lain pada harga rendah.

Di Britain, Berezovsky berkawan dengan beberapa pengkritik Kremlin termasuk bekas ejen KGB, Alexander Litvinenko yang lari dari Russia dengan bantuan Berezovsky selepas menuduh pegawai kerajaan merancang pembunuhan musuh politik.

Litvinenko mati pada 26 November 2006 selepas minum teh mengandungi unsur radioaktif polonium-210 di sebuah hotel di London. - REUTERS

No comments:

Post a Comment