Dubai: Iran tidak ada hubungan dengan satu kumpulan didakwa perisik yang ditahan di Arab Saudi, lapor media Iran semalam.
Selasa lalu, Arab Saudi berkata ia menahan seorang warga Iran, Lubnan dan 16 warga tempatan kerana mengintip.
Penganalisis politik dan media di Arab Saudi menuduh Iran yang majoritinya Syiah menjadi dalang di sebalik dakwaan pengintipan itu.
Bergelut dapatkan pengaruh
Kedua-dua negara terbabit dalam satu pergelutan untuk mendapatkan pengaruh di seluruh rantau itu dengan menyokong pembangkang di Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan dan Iraq.
Menteri luar negara Teluk Arab yang mengadakan rundingan di Riyadh bulan lalu mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dikatakan sebagai ‘campur tangan’ Iran di negara mereka, tuduhan yang ditolak Tehran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menafikan bahawa seorang warga Iran terbabit dalam rangkaian perisikan dan menggelar tuduhan itu pernah dibuat sebelum ini berulang, lapor Press TV dalam bahasa Inggeris milik Iran, semalam.
“Membangkitkan isu tanpa asas di peringkat media hanyalah untuk kepentingan domestik semata-mata,” katanya menurut Press TV.
Pemimpin minoriti Syiah di Arab Saudi turut mengkritik penahanan 16 orang lain yang dikatakan menjadi punca ketegangan mazhab.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menyalahkan rusuhan di kalangan puak Syiah di daerah Qatif, Wilayah Timur pengeluaran minyak terhadap pengaruh kuasa asing.
Pihak berkuasa mengakui ia merujuk kepada Iran, satu dakwaan yang dinafikan aktivis Syiah tempatan.
Enam belas orang terbunuh di Qatif dalam pertembungan dengan polis sejak dua tahun lalu. - REUTERS
No comments:
Post a Comment