Imelda Marcos
Imelda Marcos
IMELDA Remedios Visitacion Romualdez atau lebih dikenali sebagai Imelda Marcos, adalah ahli politik dan balu bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.

Beliau amat terkenal dengan jolokan 'wanita besi' yang hidup mewah tetapi dirundung sejuta masalah membabitkan tuduhan penyelewengan wang rakyat di Filipina. Beliau memegang status wanita pertama pada usia 36 tahun tatkala suaminya, Ferdinand Marcos dilantik sebagai Presiden Filipina pada 1965.

Bekas ratu cantik berkelulusan ijazah pendidikan ini pernah mencetuskan kontroversi di Filipina apabila perkahwinannya dengan Marcos didakwa mempergunakan kecantikannya bagi menawan pemimpin nombor satu negara itu.

Penghujung penggal kedua sebagai presiden dalam 1972, Marcos mengisytiharkan kuasa ketenteraan seluruh Filipina sekali gus menggantung majoriti hak awam bagi memastikan kuasanya tidak luput.

Ketika negara berada di bawah kekuasaan tentera, Imelda diketengahkan dalam kerajaan dan memegang majoriti jawatan rasmi. Beliau dilantik sebagai Gabenor Metro Manila yang tidak pernah wujud sebelum ini. Malah Imelda turut dilantik menjadi Menteri Penempatan Masyarakat serta duta istimewa dan berkuasa penuh.

Selepas berhadapan dengan pelbagai tuduhan pencabulan hak asasi kemanusiaan dan digantung dalam Perlembagaan Filipina, Imelda sekeluarga digulingkan menerusi satu revolusi tanpa pertumpahan darah dalam 1986 sekali gus terpaksa melarikan diri ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS).

Imelda terkenal dengan kegilaan mengumpul kasut dan memiliki beberapa unit bangunan mewah di negara barat termasuk seunit di Fifth Avenue, Crown Building bernilai AS$51 juta (RM158 juta); unit pejabat di 40 Wall Street dan 200 Madison Avenue, AS bernilai AS$60 juta (RM186 juta).

"Mereka memerlukan tokoh dan ikon sebagai panduan untuk mereka lebih maju dan mengubah kehidupan yang miskin," kata Imelda dalam satu kenyataan media tempatan.

Namun, kesemua aset Imelda bersama suaminya, dirampas bersama koleksi lukisan Michelangelo, Bottecelli dan Canaletto serta barang kemas. Kerajaan Filipina mendakwa tindakan dibuat bagi membiayai perolehan pemilikan yang telah dicuri daripada perbendaharaan nasional.