Monday, March 25, 2013

Malacanang pertahankan dasar luar Filipina



MANILA, Filipina - Istana Malacanang bertindak mempertahankan dasar luar pentadbiran Presiden Filipina, Benigno Aquino III apabila ramai pihak mengkritik cara beliau menangani isu Sabah, lapor akhbar dalam talian Tempo.
Timbalan jurucakap kepada Presiden, Abigail Valte berkata, Aquino sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat negara ini yang tinggal dan bekerja di luar negara ketika berlaku krisis di negara tersebut.
"Sudah tentu kita tidak bersetuju yang kita gagal untuk membuat yang terbaik dari segi polisi luar," kata Valte.
"Apa yang Presiden utamakan dalam dasar luar kita merupakan kepentingan negara ini."
Sementara itu, Valte berkata, keluarga pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III perlu menjelaskan kedudukannya selepas laporan lapan yang dituduh di Malaysia sebagai pengganas.
Keluarga Jamalul Kiram mendakwa kesemua lapan tertuduh merupakan warga Malaysia dan bukan Filipina.
Valte berkata, ia amat mengelirukan kerana pada mulanya Jamalul Kiram mempertahankan semua tertuduh.
Beliau berkata, apa jua pun pendirian Jamalul Kiram, pihak pemerintah akan menyediakan bantuan kepada semua tertuduh.
"Kami telah diberi akses kepada lapan individu itu dan akan mengambil langkah perlu untuk membantu mereka," kata Valte.
Manakala dalam satu wawancara dengan stesen radio dzRB, Valte berkata, bantuan guaman turut akan diberikan kepada jeneral pengganas Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang ditangkap kelmarin.
Para pengikut Jamalul Kiram sebelum ini menceroboh Lahad Datu, Sabah untuk menuntut tanah nenek moyang Kesultanan Sulu pada 12 Februari lalu.
Pertempuran kemudian berlaku melibatkan para pengikut itu dengan anggota-anggota keselamatan Malaysia yang melibatkan sejumlah kematian. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2OVgoqkAq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment