Saya tidak tahu hendak memulakan di mana catatan mengenai Sabah kali. Ada dua cerita yang ingin saya bawakan. Cerita ini pula bergabung di antara satu sama lain; perang dan politik. Walaupun pemergian ke Sabah dan berada di sana selama lima hari empat malam untuk meninjau keadaan di Lahad Datu dan daerah-daerah lain tetapi sebagai pemerhati dan penulis politik, saya tidak melepaskan peluang untuk membuat tinjaun politik Sabah di saat-saat akhir menjelang PRU-13.
Tentu juga ia akan digali apakah peristiwa yang berlaku di Lahad Datu khasnya kejadian yang meragut nyawa 12 Mac itu memberi kesan langsung kepada politik Sabah.
Atau tepat lagi pemergian saya kali ini ialah untuk melihat kedua-dua keadaan dan situasi itu sekali gus, politik dan perang dan perang dan politik.
Biarlah saya menceritakan keadaan perang atau tragedi pencerobohan dulu kemudian diikuti dengan perkembangan politik di Sabah mutkahir ini atau pasca tragedi - 12 Mac mengenai kronologi pencerobohan puak Sulu dari versi di sana.
Sebenarnya versi tragedi itu tidak banyak beza dengan apa yang difaham dan sampai kepada kita dari Semenanjung. Cuma apa yang beza atau kelainannya mengenai susur galur kejadian itu saja serta bagaimana emosi orang menerima kejadian itu. Bagi kita di sini ia menakut dan membimbangkan sekali, kerana pencerobohan itu diberikan berbagai konotasi serta digambarkan kesadisan keadaan di sana.
Keadaan hari ini sudah tenang! Semalam tidak ada apa-apa kejadian buruk berlaku yang dilaporkan. Seperti mana dilaporkan oleh polis, begitulah juga yang saya perolehi dari penduduk di sana khasnya di Sandakan yang menjadi daerah terakhir gelajahan saya sebelum pulang. Kebimbangan orang ramai kepada sesuatu kejadian buruk sudah tidak ada lagi. Bahkan keadaan di Sandakan seperti daerah lain yang tidak terecer darah.
Sandakan adalah dearah Tenggara Sabah yang saya kira tidak begitu terusik dengan kejadian di Lahad Datu itu. Hanya bagi sesetengah rakyat Sulu (mungkin yang tidak memilki dokumen dan IC dibawah Projek IC?) takut dan ramai yang 'coking bongah' melarikan diri pulang ke pulau-pulau asal mereka. "Mereka takut Encik, bila polis pergi gelidah rumah mereka, mereka bimbang ditangkap, maka mereka lari," begitu tutur seorang lelaki keturunan Sulu di Sandakan sedikit kesal.
Sejak semalam membawa ke pagi ini angka kematian dikedua belah pihak tidak bertambah. Di pihak kita (keselamatan) kekal dengan angka lapan orang sahaja. Sementara di pihak penceroboh lebih 54 orang. Manakala lebih 100 orang ditahan kerana memasuki atau terlanggar masuk ke kawasan larangan, sempadan merah. Manakala seorang orang awam, budak lelaki maut apabila ditembak askar dan seorang cedera.
Pengesahan oleh polis bahawa bekas Jeneral MNLF, Jeneral Haji Musa yang memimpin pencerobohan berdarah itu meninggal dunia ditembak pasukan keselamatan kita melegakan ramai orang. Orang yang ngeri dan merasa takut dengan kejadian itu akan berterusan dan merebak boleh menarik nafas lega. Kematian Haji Musa seakan menyegerakan episod pencerobohan.
Pun begitu keadaan di Tenggara Sabah itu tidak akan pulih seperti sedia kala dengan mudahnya. Haji Musa sudah meninggal, tetapi ini bukan bermakna perang atau pencerobohan itu berakhir? Perlu diingat Haji Musa ada meninggalkan anak buahnya. Kematian Haji Musa dan angkatan tentera Sultan Sulu itu akan didendami seperti mana dendamnya pasukan keselamatan kita atas kematian lapan orang anggota polis.
Berita kematian Haji Musa memberi kesan psikologi kepada tentera penceroboh dan juga masyarakat Sulu di Sabah. Suka atau tidak suka, orang Sulu bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas tentera itu. Kandati mereka tidak terlibat secara langsung menyokong dan mendoakan kejayaan pencerobohan itu, namun semangat dan sokongan dihulurkan kerana mereka bersetuju dengan matlamat pencerobohan itu untuk menakluki Sabah.
Berita kematian Haji Musa ini berbunyi sejak dua hari lepas dan ia baru diumumkan hari ini. Anihnya di Sandakan cerita Haji Musa tidak timbul. Sebaliknya kisah anih lain yang diperkatakan. Kononnya terdapat kalangan tentera Sulu tidak lut dek peluru atau kebal.
Cerita ini tersebar secara halus dan senyap. Tetapi ia bukan menjadi rahsia sulit lagi. Ia bukan saja dari kalangan orang Sulu tetapi di kalangan rakyat Sabah lain juga. Kononnya mereka mengutip berita mengenai perkara ini dari pasukan keselamatan sendiri. Kononnya seorang tentera kita melihat sendiri bagaimana tubuh tentera Sulu yang ditembak bertubi-tubi tidak berbekas dan luka malahan mereka tersenyum saja menerima tembakan sambil menepis kesan-kesan peluru dibadan?
Berita ini katanya menyebabkan menimbulkan kegerunan dan ketakutan di kalangan pasukan keselamatan kita.
Betulkah? Saya mempersoalkan sendiri tanpa bertanya lebih lanjut. Bagi saya cerita itu mungkin sebagai propaganda dan dakwah saja. Atau tahyul perang. Kerana apa yang jelasnya pasukan keselamatan kita menunjuk foto jenazah tentera Sulu yang bergelimpangan menyembah bumi.
Kalau pun ada yang kebal dan tidak lut oleh peluru, bukan semua mungkin beberapa orang saja. Dan cerita ada orang kebal dan tidak lut ini bukan perkara baru dan dogengan. Di samping cerita kebal itu ada juga cerita kononnya tentera Sulu boleh ghaib?
Apakah orang Sulu yang saya temui di Sandakan dan Lahad Datu itu tidak mahu mencerita akan kehebatan ilmu pertahan diri mereka? Atau sememangnya ia dongengan dan satu strategi psikologis saja? Walahu'alam.
Sebenarnya tragedi berdarah itu menimbulkan berbagai persepsi dari berbagai pihak di Sabah. Dari kalangan rakyat Sabah mereka menerima kejadian itu seperti biasa saja. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan kejadian tembak menebak yang kejam sebelum ini. Kejadian jenayah atau huruhara begitu bukan tidak pernah berlaku di Sabah. Kalau yang agak asing ialah pengeboman saja?
Manakala yang agak ketakutan dan bimbang ialah dari kalangan anak muda. Ini kerana mereka belum pernah mendengar tembakan begitu kuat dan panjang. Keadaan diburukkan lagi maklumat yang mereka terima dari internet. Penyebaran berita di internet yang sukar dikawal menimbulkan masalah dan ketakutan. Berita-berita liar dan pengeposan gambar menakutkan menjadikan fikiran dan jiwa sesiapa saja menerima maklumat itu akan ketakutan dan 'dihindik' phobia.
Hal ini diakui sendiri oleh pihak polis. Menurut seorang pegawai polis ledakan media baru internet menyebabkan sukar untuk kawal keadaan. Pesanan ringkas (SMS) dan twitter, blog liar menjadi 'musuh' kepada pasukan keselamatan kerana ia menganggu kosentrasi dan juga usaha penyelamatan atau strategi penyerangan dijalankan.
"SMS menyusahkan kami, dan ia menjadikan kawalan keselamatan sukar hendak dilakukan. Setiap hari kita menerima lebih 20 maklumat-maklumat berhubung kejadian dan ini menyebabkan perlu disaring untuk pengesahan. Ia juga tidak boleh diabaikan bimbang ianya benar," begitu luah seorang pegawai polis di Kunak penuh kekesalan.
Beliau lantas merayu orang yang tidak bertanggungjawab itu insaf dengan apa yang berlaku hari ini.
Secara umumnya dalam perhatian saya, kedamaian di Tenggara Sabah itu masih belum pulih sepenuhnya. Ia boleh dianggap sebagai laut yang tenang tetapi jangan disangka tidak ada buaya. Mungkin kampung Tanduo sudah bersih dari penjenayah tetapi bukan di tempat lain. Beberapa kampung lain seperti Tanjung Batu, Sungai Bilis, Tanggung Batu dan beberapa lagi masih diberi kawalan ketat. Keadaan kampung itu juga bila menjelang malam menakutkan.
Betapa keadaan ini masih gawat apabila semua pintu masuk ke daerah-daerah yang digezetkan sebagai kawasan kawalan keselamatan khas dikawal ketat polis. Sekatan jalan raya dilakukan polis yang lengkap bersenjata dan kubu ada di mana-mana saja. Sekilas pandang apa yang wujud di Tenggara Sabah itu tak ubah apa yang dilihat di Selatan Siam, Narathiwat, Petani, Baning Star dan lain-lain.
Manakala semua balai polis di daerah itu akan bergelap bila malam menjelma. Balai polis tidak dipasang lampu dan anggota akan berkubu di dalam kubu yang dibina di sekeliling balai polis. Apa yang boleh dihukumkan dengan situasi ini, melainkan keselamatan tidak terjamin dan polis serta askar terus bersiap siaga sepanjang 24 jam.
Mungkin tentera Sulu atau pun penceroboh yang mulai digelar pengganas (militian) sudah melarikan diri, tetapi, namun belum ada jaminan secara rasmi ia tidak akan berpatah balik. Istilah atau filsafah orang berlawan, 'undur setapak untuk mara seribu tapak' harus diingat. Hanya apabila telah rasmi pihak tentera Sulu mengakui mereka mengaku kalah barulah, reben merah yang melingkungi Tenggara Sabah itu boleh ditanggalkan. Selagi tidak ada tanda tangan mengenai persetujuan itu maka Sabah masih dalam keadaan 'dharurat'. - MSO
No comments:
Post a Comment