Wednesday, April 17, 2013

Israel sedia serang Iran tanpa bantuan negara asing



BAITULMUQADDIS - Tentera Israel berupaya menyerang Iran bersendirian tanpa bantuan beberapa buah negara asing, dakwa ketua tentera negara tersebut, Benny Gantz dalam satu wawancara radio sempena ulang tahun ke-65 penubuhan negara Yahudi itu.
Ditanya sama ada tentera Israel boleh menyerang Iran tanpa sokongan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Gantz menjawab: "Ya, sudah tentu. Kami memiliki rancangan dan apabila masanya sudah tiba, kami akan putuskan sama ada bakal mengambil tindakan ketenteraan ke atas Teheran."
Komen Gantz itu mengulangi kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada awal bulan ini yang menyatakan bahawa Israel tidak akan menyerahkan nasibnya ke tangan negara-negara lain termasuk negara sahabatnya.
Israel yang percaya Iran sedang membangunkan keupayaan senjata nuklear tidak menolak akan melancarkan serangan tentera.
Serangan itu dilakukan dengan tujuan untuk menghalang Iran mengeluarkan senjata nuklear.
Pada bulan lalu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyatakan, negaranya akan memusnahkan bandar Israel termasuk Tel Aviv dan Haifa jika rejim Zionis melancarkan serangan.
Iran yang berulang kali menafikan ia sedang menghasilkan senjata nuklear memberitahu, program nuklearnya digunakan untuk tujuan menjana tenaga elektrik dan perubatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2QfPmNiO2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment