Wednesday, April 17, 2013

Korea Utara sekali lagi ancam serang Korea Selatan




GAMBAR fail menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan membakar patung-patung bekas pemimpin dan pemimpin terkini Korea Utara di Seoul kelmarin.


SEOUL - Tentera Korea Utara semalam mengancam akan melancarkan tindak balas yang membawa kemusnahan besar ke atas Korea Selatan.
Bagaimanapun, tindak balas itu tidak akan berlaku jika Korea Selatan meminta maaf ekoran tindakan para penunjuk perasaan yang membakar patung pengasas negara tersebut.
Para penunjuk perasaan itu membakar patung pengasas negara komunis Korea Utara, Kim Il-sung.
Mereka juga membakar patung anak Il-sung, Kim Jong-il dan pemimpin negara itu ketika ini, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an.
Tunjuk perasaan itu diadakan pada Isnin lalu yang dihadiri oleh 40 orang.
Ia diadakan ketika Korea Utara meraikan ulang tahun kelahiran Il-sung yang juga datuk kepada Jong-un.
"Tindak balas kami akan bermula tanpa sebarang notis," kata kenyataan yang dikeluarkan Pemerintah Tertinggi Tentera Rakyat Korea Utara.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, kata dua Korea Utara itu amat dikesali dan ia berjanji untuk turut bertindak balas terhadap sebarang serangan. Ketegangan di Semenanjung Korea ketika ini meningkat selepas Korea Utara membuat ancaman untuk menyerang Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas negara tersebut melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Amaran terbaharu itu dikeluarkan sehari selepas Setiausaha Negara AS, John Kerry menamatkan lawatannya ke negara-negara Asia Timur yang bertujuan untuk meredakan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea.
Kerry juga berusaha meminta China untuk bertindak meredakan ketegangan kerana Korea Utara merupakan sekutu utamanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment